Bimbang ramai tertipu testimoni palsu di FB, keluarga Sarimah Ahmad buat laporan polis, SKMM


  • Hiburan
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Akaun Facebook (gambar kanan) yang membuat penipuan dengan mengiklankan produk kesihatan menggunakan identiti Sarimah.

AHLI keluarga Datuk Sarimah Ahmad, 82, tampil membuat laporan polis selepas pelakon legenda tanah air menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila identitinya diguna pakai oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman Facebook baru-baru ini.

Ketika dihubungi Majoriti, anak kepada Sarimah, Shahray Zulkifli, 55, memaklumkan dua laporan polis sudah dibuat pada Jumaat masing-masing di Balai Polis Sungai Petani, Kedah dan Balai Polis Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Berdasarkan fakta kes yang diperolehi Majoriti, laporan polis yang dibuat turut menyatakan kebimbangan keluarga Sarimah jika orang ramai tertipu dengan taktik scammer tersebut.

Difahamkan, satu laporan juga dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penipuan berkenaan.

Laporan itu dibuat oleh seorang lagi anaknya, Norhayati Zulkifli.

BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar

BACA LAGI: Keputusan SPM diumum 27 Mei

Majoriti pada Khamis melaporkan mengenai penipuan melibatkan akaun media sosial menggunakan identiti Sarimah untuk mempromosi atau menjual produk makanan kesihatan kepada orang ramai dengan menggunakan testimoni palsu daripada artis veteran tersebut.

Perkara itu dikongsikan Shahray di laman Facebook yang baru sahaja menyedari mengenai kegiatan penipuan terbabit yang mengambil kesempatan.

Jelasnya, dakwaan mengatakan ibunya telah sembuh daripada segala penyakit selepas memakan ubat kesihatan itu adalah palsu dan penipuan semata-mata.

Malah, dia turut menjelaskan bahawa ibunya tidak memiliki sebarang akaun media sosial sepanjang bergelar artis tanah air.

Dalam pada itu, Shahray memaklumkan setakat ini, akaun Facebook yang terbabit dalam kegiatan penipuan tersebut dilihat masih wujud dan belum disekat.

Ujarnya, identiti di sebalik akaun Facebook terbabit juga masih belum dikenal pasti.

Dia turut menyatakan terdapat dua tiga akaun Facebook yang menggunakan nama ibunya.

Pada masa sama, Shahray menegaskan bahawa ibunya tidak pernah menggunakan produk makanan kesihatan yang diiklankan akaun tersebut.

Untuk rekod, Sarimah Ahmad sebelum ini mendedahkan dia kini pulih dari kanser kolon atau usus tahap tiga selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram