SETIAP umat Islam pastinya mendambakan kematian dalam penuh kemuliaan.
Begitulah pengakhiran hidup seorang jemaah apabila nyawanya dicabut ketika menunaikan solat fardu zuhur di Surau An-Nuur, Jalan Kesang Laut, Tangkak, Johor pada Rabu.
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) surau pada hari kejadian dikongsikan pengguna Facebook dengan nama akaun Zamree Pomen menerusi satu hantaran pada Khamis.
Klip berdurasi seminit 45 saat itu menunjukkan lelaki tersebut sedang solat berjemaah bersama 12 jemaah lelaki lain.
BACA LAGI: Scammer umrah tajaan 'Datuk' kembali aktif buru mangsa
Dia dilihat menghembuskan nafas terakhirnya pada rakaat terakhir solat, sebelum sempat memberi salam.
"Meninggal dunia semasa solat zuhur 1 Syawal 1445 Hijrah.
"Kematian yang dicemburui, sejak muda (arwah) jaga solat berjemaah di surau," katanya.
Zamree dalam pada itu turut memaklumkan, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, Johor pada Rabu malam.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh waris mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram