ETS terkandas 4 jam, KTMB tawar pemulangan tambang penuh, tuntutan insurans


  • Primer
  • Khamis, 11 Apr 2024

Situasi sebahagian penumpang terkandas dalam Perkhidmatan Tren ETS yang dalam perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth pada Selasa.

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan susulan kejadian perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang tergendala pada Selasa.

KTMB dalam kenyataan media pada Khamis menyarankan agar penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium untuk membuat tuntutan insurans.

"Kesulitan itu amat dikesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Mereka diminta untuk menghantar permohonan ke e-mel [email protected].

"Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau e-mel kepada [email protected].," katanya dalam kenyataan tersebut.

BACA LAGI: Terkandas 4 jam penumpang ETS KL- Butterworth luah rasa kecewa, KTMB mohon maaf

BACA LAGI: Scammer umrah tajaan 'Datuk' kembali aktif buru mangsa

Terdahulu, isu mengenai ETS Kuala Lumpur-Butterworth terkandas tular di media sosial kerana mengalami masalah teknikal dan terputus bekalan elektrik.

Ia terkandas di laluan pada 5 petang hingga hampir pukul 8 malam.

Mengulas lanjut, KTMB berkata, pihaknya setakat ini masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian berkenaan yang berlaku antara laluan Kamunting dan Bukit Merah.

"Seperti dimaklumkan melalui kenyataan rasmi kami, gangguan ini disebabkan oleh talian elektrik (alat talian atas) yang terputus dan membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

"Tetapi kru tren bertugas sudah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.

"KTMB juga turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman," katanya.

KTMB juga berkata, lokomotif bantuan juga sudah dihantar namun gagal untuk menyelamatkan tren ETS yang terkandas, manakala pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

"Selain itu, para penumpang juga turut diberikan penyegar apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan salah seorang penumpang meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan pihak KTMB yang lambat mengambil tindakan selepas perkhidmatan kemudahan awam tersebut terganggu selama empat jam pada Selasa.

Manakan tidak, melalui satu hantaran yang dikongsikan di laman media sosial, kesemua penumpang dibiarkan dalam keadaan berpanas tanpa lampu dan air terlalu lama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram