Tukang rumah perit tanggung kesakitan tertusuk batang tembus cermin kereta di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 09 Mei 2024

Batang besi sepanjang 0.75 meter terbabit difahamkan terjatuh dan melayang sebelum menembusi cermin depan kereta dipandu mangsa.

SEORANG tukang rumah terpaksa menanggung kesakitan selepas lengan dan rusuk kirinya tertusuk batang besi yang dipercayai terjatuh dari sebuah lori di Jalan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu, batang besi sepanjang 0.75 meter terbabit difahamkan terjatuh dan melayang sebelum menembusi cermin depan kereta dipandu mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ekoran insiden itu, mangsa, Jamaluddin Amin, 45 menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar

BACA LAGI: Keputusan SPM diumum 27 Mei

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Penor menghala ke arah Tanjung Lumpur, Kuantan.

“Setibanya di tempat kejadian, sebatang besi dipercayai jatuh daripada sebuah lori dari arah bertentangan terkena cermin depan sebelum menembusi cermin depan kereta dan terkena lengan dan rusuk kiri mangsa.

“Mangsa dibawa ke HTAA Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

441400853_862360545930673_1478061457952102882_n (1)

Keadaan cermin depan kereta dipandu mangsa yang ditembusi batang besi.

Wan Mohd Zahari berkata, polis kini sedang menjalankan usaha mengesan pemandu serta lori terbabit.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, kenderaan berat jenis 'roro' itu dipercayai berwarna hijau dan membawa sisa bahan binaan.

Bagaimanapun, nombor pendaftaran lori terbabit tidak dapat dipastikan.

“Kita juga mengesan saksi awam untuk membantu siasatan,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga mendatangkan kecederaan kepada orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram