[VIDEO] Dua kemalangan sehari di bypass Rawang, adik mohon bantuan cari rakaman dashcam demi arwah abang


  • Tular
  • Selasa, 07 Mei 2024

Tangkap layar foto memaparkan dua kejadian kemalangan yang berlaku di kawasan sama di Rawang ByPass dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

TIDAK sampai 24 jam, dua kemalangan dilaporkan berlaku di lokasi sama dekat Rawang ByPass, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin dengan salah satu daripadanya melibatkan kehilangan nyawa seorang penunggang motosikal yang dipercayai berlanggar dengan sebuah lori.

Dalam kes pertama yang terjadi sekitar petang Isnin, penunggang motosikal terbabit yang dikenali sebagai Khairul Idlan maut di tempat kejadian selepas terbabit dengan perlanggaran bersama sebuah kenderaan berat.

Menerusi video tular dikongsikan orang awam mengenai kejadian tersebut, mayat mangsa dilihat terbaring dan bertutup dengan kain putih tidak sampai beberapa meter di belakang lori terbabit.

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

Kejadian berkenaan berlaku di laluan menghala ke Serendah, Selangor.

Sementara itu, pada sekitar 2 pagi Selasa, dilaporkan satu lagi kemalangan berlaku di lokasi sama melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga bersama lori membawa muatan kayu.

Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut, pemandu difahamkan selamat namun bahagian hadapan kereta terbabit dilihat remuk akibat insiden berkenaan.

Dalam pada itu, ahli keluarga kepada penunggang maut dalam kejadian pada petang Isnin memohon bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka ketika kejadian.

BACA LAGI: Latar belakang pendidikan calon jadi pertikaian? Ini pandangan pengundi PRK KKB

Perkara itu dikongsikan oleh laman Facebook MyHuluselangor yang menerima mesej daripada individu dipercayai adik perempuan kepada mangsa yang maut.

"Salam admin, saya adik kepada arwah Khairul Idlan yang baru sahaja kemalangan petang tadi. Minta jasa baik admin, war-warkan kalau ada dashcam sempat rakam kemalangan abang saya.

"Driver lori cuba tukar statement, saya merayu sangat-sangat," tulisnya pada mesej tersebut.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram