[VIDEO] Tragedi pulang minum bersama, 2 maut kereta terbabas di Meru


  • 112
  • Selasa, 07 Mei 2024

Tangkap layar sebuah kereta dilaporkan terbalik dan mengakibatkan dua lelaki maut di Batu 1, Jalan Meru, Klang, Selangor pada Isnin.

SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku membabitkan dua lelaki selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Batu 1, Jalan Meru, Klang, Selangor pada Isnin.

Insiden itu turut mengakibatkan dua lagi penumpang di bahagian kerusi belakang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira pukul 4.55 pagi menerusi Bilik Gerakan IPD Klang Utara.

BACA LAGI: [VIDEO] Rebut jalan punya pasal, lelaki 'baran' tahan kereta, ajak bertumbuk di Pagoh

BACA LAGI: Bayi selamat, ibu antara 3 maut kemalangan ngeri di Miri

Beliau berkata, kejadian terbabit melibatkan empat mangsa berumur 22 hingga 30 tahun yang difahamkan dalam perjalanan menuju ke rumah salah seorang daripada mereka yang terletak di Kampung Jawa, Klang setelah minum bersama di Kuala Lumpur.

"Sebuah kereta telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar batu pembahagi jalan di sebelah kanan lalu memasuki ke laluan bertentangan.

"Pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat dua mangsa yang maut kemudiannya dibawa ke HTAR Klang untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram