AKTIVITI melibatkan hutan kian mendapat sambutan hangat daripada pelbagai peringkat golongan yang menggemari aktiviti ekstrem dan mencabar.
Pastinya, aktiviti ini merupakan salah satu cara yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang sama ada pada musim cuti persekolahan ataupun menjelang hujung minggu.
Banyak aktiviti melibatkan hutan seperti perkhemahan, pendakian dan memancing yang boleh dibuat di tapak-tapak rekreasi di negara ini.
Apabila berbicara soal hutan, pastinya anda boleh terdedah dengan pelbagai jenis bahaya yang boleh menimpa seperti ancaman haiwan liar dan berbisa.
Adalah penting untuk seseorang memahami asas ilmu perhutanan sebelum memulakan sebarang aktiviti melibatkan hutan bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada diri sendiri.
Menurut perkongsian Segamat Outdoor World, berikut merupakan tip yang perlu dilakukan jika terserempak binatang buas atau serangga berbisa yang berada di hutan.
BACA LAGI: Mateen Inteam terpaku lihat orang Mesir dengar al-Quran sambil berdiri dalam pengangkutan awam
Lumut taik kera tumbuh di denai kawasan perhutanan.
1. Lumut Taik Kera
Apabila berjalan di waktu malam terutama di hutan yang berhampiran dengan air terjun ataupun sungai, seseorang berkemungkinan besar akan melihat tumbuhan bercahaya berwarna hijau.
Tumbuhan yang bercahaya itu dikenali sebagai lumut tahi kera yang akan mengeluarkan cahaya dengan bantuan bulan dan bintang.
Difahamkan, cahaya itu hanya keluar pada waktu malam dan tidak kelihatan pada waktu siang.
Jika seseorang tersesat ketika berada di dalam hutan, mereka hanya perlu mengikuti sahaja laluan yang memiliki cahaya ini kerana ianya tumbuh di denai iaitu laluan bagi binatang dan manusia.
BACA LAGI: Lengan kiri Zaki Yamani pernah berparut gara-gara terbakar main bunga api
Ular tedung boleh ditemukan di banyak tempat apatah lagi di hutan.
2. Ular tedung
Seseorang yang terserempak ular semasa berada di dalam hutan dinasihatikan supaya tidak membuat sebarang gerakan mengejut dan berada di kedudukan yang sama ataupun beranjak ke kawasan yang lain.
Untuk maklumat, ular tedung tak mematuk apabila kepala dia sedang kembang penuh, sebaliknya akan mematuk apabila kepalanya berada dalam keadaan kembang separuh sahaja.
Oleh itu, seseorang perlulah memegang ranting kayu untuk membuat ular itu berada dalam keadaan kembang penuh.
3. Kera
Spesis haiwan seperti kera tidak akan berlari jika kita melibas dengan sebatang ranting kayu sebaliknya akan lebih lincah dengan gerakan ranting kita.
Jadi, untuk menghalau kera, anda hanya perlu mematahkan pokok renek dengan daun dan ranting yang mengembang untuk dihayunkan pada kera tersebut.
Cara ini dikatakan mampu menghalau kera dan menyebabkan mereka beredar dari kawasan berkenaan.
4. Harimau
Kebiasaannya, jika sesuatu hutan secara tiba-tiba menjadi sunyi sepi meskipun sebelum itu berada dalam keadaan bising menandakan bahawa terdapat haiwan seperti harimau, harimau akar dan beruang yang sedang menghendap.
Apabila hutan yang dikunjungi menjadi sunyi dan diikuti bau hamis, itu bermakna memang terdapat harimau berada di kawasan itu.
Mengambil tip daripada Orang Asli, seseorang perlulah membawa mercun bola ketika mahu ke hutan dan membalingnya apabila berdepan dengan situasi itu.
Beruang madu banyak berada di hutan paya.
5. Beruang madu
Hutan paya di Malaysia memiliki banyak beruang madu yang kebiasaannya berwarna oren pada bahagian dada.
Jika terserempak, anda hanya perlu menjerit dan berpura-pura seolah-olah mahu mengejar beruang bersebut agar beruang itu akan berlari ke tempat lain.
6. Bunyi unggas
Bunyi unggas dan bunyi hutan pada waktu malam sebenarnya menandakan bahawa keadaan di hutan berada dalam keadaan selamat.
Jika suasana hutan tersebut berada dalam keadaan sunyi sepi bermaksud ada sesuatu yang tidak kena di tempat itu.
Seladang merupakan haiwan yang sangat besar dan menggerunkan.
7. Seladang
Seseorang perlulah menentukan laluan atau denai berada di dalam radius kawasan 20 meter dari arah khemah yang dibuat.
Ini kerana, khemah tidak boleh dibuat di dalam kawasan laluan denai kerana laluan itu bukan sahaja merupakan laluan bagi manusia tetapi juga laluan binatang.
Khemah yang dibuat dengan sebarangan berpotensi akan menyebabkan seladang datang menghampiri kawasan yang diduduki.
8. Serangga
Seseorang perlulah membersihkan lantai tapak khemah dan memastikan tiada daun atau pokok-pokok renek sebelum menginap di situ.
Sebaiknya, seseorang menggunakan ranting pokok untuk menyapu di sesuatu tempat dengan bersih sehingga tiada satu pun dedaun pada kawasan perkhemahan.
Maka, risiko seperti terkena sengatan serangga seperti lipan, kala jengking dan binatang lain dapat dikurangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram