'Dari mana kerajaan dapat RM10 bilion?', 3 isu perlu dijawab demi laksana kenaikan gaji penjawat awam


  • Massa
  • Rabu, 08 Mei 2024

Anwar mengumumkan bahawa penjawat awam di dalam negara bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.

PADA 1 Mei lalu, penjawat awam di dalam negara menerima satu berita gembira selepas kumpulan tersebut diumumkan bakal menerima kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.

Dalam ucapannya ketika Sambutan Hari Pekerja 2024, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pelaksanaan kenaikan tersebut disifatkan sebagai kenaikan terbaik dalam sejarah Malaysia.

Ujarnya, kerajaan juga dijangka akan membelanjakan sebanyak RM10 billion untuk menampung langkah peningkatan terbabit.

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

BACA LAGI: Latar belakang pendidikan calon jadi pertikaian? Ini pandangan pengundi PRK KKB

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaks during a press conference after special meeting on ' Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022' at the prime office in Putrajaya . (27/11/2022). —AZHAR MAHFOF/The Star

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Secara umumnya, berita berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada semua pihak di dalam negara.

Malah, dasar menaikkan gaji kumpulan terbabit itu juga sedikit sebanyak menjawab kegusaran rang ramai susulan tindakan kerajaan yang mengumumkan penghapusan pencen penjawat awam pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, dalam hal tersebut, terdapat juga beberapa persoalan timbul berkaitan dengan langkah bakal dilaksanakan itu.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, secara dasarnya, pihak pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) sememangnya menyokong pengumuman tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PN menafikan tuduhan liar yang mendakwa gabungan itu menentang perancangan berkenaan.

Malah, Wan Ahmad menegaskan cadangan melaksanakan kenaikan gaji itu sememangnya sudah berada dalam perancangan PN Ketika gabungan itu menerajui pentadbiran kerajaan.

"Semasa kita jadi kerajaan pun, kita dah ke arah itu. Ia sememangnya sesuatu yang perlu dilakukan. Jadi siapa pun jadi kerajaan kena buat penyelarasan gaji, pencen dan sebagainya.

"Jadi memang tiada isu kita nak menentang sebab PN yang (rancang) buat dulu. Kalau tak kerana Covid-19, kita pun dah naikkan gaji.

"Tapi sebab Covid-19, kita kena Tangguh kerana ada keperluan lain yang lebih mendesak," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Wan Ahmad yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, beliau khuatir terhadap cara yang dipilih oleh Anwar untuk mengumumkan perkara tersebut.

Menurutnya, kenyataan dibuat Perdana Menteri itu yang dilakukan tanpa sebarang perincian hanya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, langkah tersebut juga mendedahkan rakyat kepada pelbagai implikasi termasuk kenaikan harga barang.

"Hanya kerana nak pilihan raya kecil (KKB), anda buat pengumuman yang boleh memburukan kesediaan kerajaan.

"Contohnya, bila pengumuman ini dibuat terlalu awal, pasaran semua dah bergerak ke arah kenaikan Harga barang. Sebab mereka tahu penjawat awam punya gaji akan naik.

"Malah, ada syarikat ah long dan bank dah siap minta tandatangan penjawat awam. Ini sesuatu yang bahaya. Sebab itu kerajaan tidak boleh buat pengumuman dengan cara sebegini," ujarnya yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Sehubungan itu, Wan Ahmad menggariskan beberapa perkara perlu diberikan penjelasan terperinci oleh kerajaan dalam pelaksanaan Langkah tersebut.

Antaranya adalah maklumat mengenai liputan penjawat awam yang bakal menikmati manfaat kenaikan tersebut dan kaedah pemilihannya.

"Kalau kata naik 13 peratus merangkumi gred mana? Dia kata tak semua layak, tapi ikut prestasi. Jadi apa yang dimaksudkan dengan prestasi itu, dia kena telus.

"Walaupun belum muktamad, tapi sebab dia dah buat pengumuman, dia kena bertanggungjawab dengan maklumat disalurkan kepada rakyat," katanya.

1975562

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, kerajaan juga perlu memberikan penjelasan berhubung bagaimana mereka menampung perbelanjaan bernilai RM10 billion yang diperuntukkan bagi pelaksanaan langkah itu.

"Dari mana 10 bilion ni kerajaan nak dapat. Adakah daripada subsidi minyak yang ditarik atau adakah kerajaan perlu meminjam lagi.

"Kerajaan janji dia nak uruskan hutang negara, tapi adakah langkah ini dia akan menambahkan lagi. Jadi, kerajaan kena tunjuk dalam masa beberapa tahun ini, dari mana RM 10 bilion ini nak ditarik.

"Kalau daripada (Langkah Tarik subsidi) minyak, cakaplah maknanya minyak daripada subsidi ditarik digunakan untuk bayar penjawat awam. Beritahu rakyat," ujarnya.

Pada Ahad, Anwar dalam satu ucapan berkata, kenaikan gaji penjawat awam bakal dilaksanakan kerajaan tu akan dilakukan menerusi kaedah penilaian prestasi kerja dan kecekapan kumpulan berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan kenaikan gaji itu tidak berlaku secara automatik sepenuhnya dengan kenaikan yang lazimnya mengikut tahun perkhidmatan.

Jelas beliau, kenaikan gaji yang tertinggi dalam sejarah negara itu harus dinikmati secara adil dan tidak melibatkan segelintir mereka yang tidak menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

Disebabkan itu, kaedah atau mekanisme yang sesuai harus dipertimbangkan bagi mencapai hasrat tersebut.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cara peruntukan RM10 bilion itu dibiayai, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada 3 Mei lalu berkata, butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram