PERTIKAIAN mengenai kesahihan taraf pendidikan calon menjadi antara isu terawal yang dimainkan dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) yang bermula pada 28 April lalu.
Seawal hari pertama, calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut menjadi sasaran pihak lawan untuk digunakan bagi menyerang kredibilitinya.
Ia selepas perkongsian latar belakang pendidikannya menimbulkan tanda tanya khususnya dalam kalangan warganet.
BACA LAGI: ‘Saya hari-hari berkomunikasi dengan PM', Amirudin sangkal dakwaan Anwar boikot kempen PRK KKB
Berdasarkan maklumat tertera, beliau dilapor memperoleh Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 sebelum disusuli ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beberapa pihak termasuk pemimpin Umno yang bertindak menyoal kelayakan dan kesahihan pendidikan calon PN itu yang mengambil tempoh hanya dua tahun melengkapkan perjalanan dari diploma kepada ijazah sarjana.
Bagaimanapun, menjawab mengenai isu tersebut, UMP tampil memberikan pengesahan berhubung kelulusan yang diperoleh oleh Khairul Azhari.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr Ahmad Johari Mohamad berkata, Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada majlis konvokesyen pada 2021.
Suasana di pekan KKB ketika tempoh berkempen PRK di kawasan tersebut.
Ahmad turut menjelaskan bahawa pemegang diploma boleh melanjutkan pengajian terus ke peringkat Sarjana Eksekutif di UMPSA dengan memenuhi syarat-syarat kelayakan pengalaman kerja yang telah ditetapkan dan dengan syarat pemohon perlu melepasi Penilaian Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (ROPE) di UMPSA.
Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao turut menjadi sasaran pihak lawan yang turut mempersoalkan latar belakang pendidikannya termasuk sama ada beliau menduduki SPM dan UPSR.
Susulan daripada itu, beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tampil berkongsikan keputusan cemerlang yang dicapainya bagi menutup mulut pihak lawan.
Dengan pertikaian mengenai tahap pendidikan dilihat menjadi isu utama dimainkan ketika dalam kempen ini, adalah menarik untuk menilai sejauh mana ia memberikan kesan di mata pengundi khususnya di PRK KKB khususnya ketika membuat pilihan.
Bagi penduduk, Kavinthran Gunasingam, 28, dia berpandangan tahap pendidikan calon sememangnya antar kriteria penting yang diambil kira dalam membantunya membuat keputusan.
Kavinthran Gunasingam
"Bila mereka contohnya masuk Dewan Undangan Negeri, atau mungkin berunding dengan pihak lain seperti pelabur, masa itu mereka punya pendidikan itu memang diperlukan.
"Jadi bagi saya untuk ahli politik, pendidikan itu sangat penting untuk pastikan mereka jalankan tugasan dengan profesionalisme yang terbaik," ujarnya yang juga seorang kontraktor.
Bagi Rabiatuladawiah Norazizan, 35, dia berpendapat bahawa wakil rakyat sememangnya harus mempunyai tahap pendidikan yang baik bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.
"Pada pendapat saya wakil rakyat mestilah ada pendidikan sebab kita sendiri nak didik anak dari kecil pun kena ada ilmu, ini kan pula dia nak jaga rakyat yang ramai.
"Dia mesti kena macam mana sistem pentadbiran itu berfungsi," katanya.
Bagaimanapun, Rabiatuladawiah yang juga pengusaha taska berkata, pendidikan bukan satu-satunya kriteria yang perlu dimiliki oleh wakil rakyat.
"Selain ada ilmu, dia juga kena ada ciri prihatin dan rasa mesra rakyat. Kena ada rasa cinta untuk rakyat," katanya.
BACA LAGI: Bas tak cukup, caj parkir antara 4 isu utama menghantui penduduk KKB sejak berpenggal lamanya
Rabiatuladawiah Norazizan
Sementara itu, pesara, Samsul Sudin, 67, berkata, tahap pendidikan berupaya untuk menentukan kredibiliti seseorang calon.
Malah, dia juga berpandangan pendidikan adalah tiket penting untuk membolehkan seseorang wakil rakyat untuk bekerja dengan lebih berkesan dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk.
"Jadi tiadalah orang cakap merapu, tanpa fakta. Sekarang ini semua maklumat di hujung jari.
"Lagipun untuk tangani masalah rakyat ini, mereka perlu ada keupayaan buat analisis dan kenal pasti isu yang berlaku, baru dia boleh majukan benda itu kepada pihak atasan," katanya.
Bagi Saniah Mohd Ali, 56, pula, mempunyai wakil rakyat yang memiliki tahap pendidikan tinggi dilihat sebagai satu bonus.
Namun, dia yang juga pesara tidak melihat perkara tersebut sebagai kriteria utama yang akan dinilai ketika membuat pilihan.
"Saya rasa kalau dia tahu apa kehendak pengundi dan dia pun orang sini, tidak perlu pendidikan. Yang penting dia tahu apa yang orang dekat kawasan dia mahukan," ujarnya.
Selain Khairul Azhari dan Sock Tao, dua lagi calon bakal bertanding dalam PRK KKB yang berlangsung pada 11 Mei depan ialah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram