[VIDEO] Tiada rancangan tahan Tun M, siasatan masih berjalan — SPRM


  • 112
  • Selasa, 07 Mei 2024

Pada 26 April lalu, Azam mengesahkan Dr Mahathir (gambar) adalah antara individu disiasat berhubung isu pengisytiharan aset.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai rancangan untuk menahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

"Kami tidak bercadang untuk menahan Dr Mahathir kerana siasatan masih dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Selasa.

Pada 26 April lalu, Azam mengesahkan Dr Mahathir adalah antara individu disiasat berhubung isu pengisytiharan aset.

SPRM sudah menyampaikan notis kepada anak Dr Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani, masing-masing pada 18 dan 26 Januari untuk mengisytiharkan semua aset alih dan tak alih di bawah milikan mereka, di dalam dan luar negara dalam tempoh 30 hari.

Mereka kemudiannya diberi lanjutan 30 hari oleh SPRM kerana jumlah aset mereka yang meluas.

Mokhzani disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Pengganas dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

Malaysian Anti-Corruption Commission deputy chief commissioner (operation) Datuk Seri Azam Baki.MOHD SAHAR MISNI/The Star

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM belum memulakan siasatan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM5.21 juta yang diumumkan untuk Kuala Kubu Bharu menjelang pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut

“Tiada laporan buat masa ini tetapi pusat aduan SPRM akan mengambil maklum apa yang dilaporkan dalam media.

“Kami akan menelitinya dan menentukan sama ada isu itu melibatkan rasuah atau tidak,” katanya.

Pada awal Mei ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkritik peruntukan RM5.21 juta yang disalurkan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) oleh kementerian terbabit untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur awam di Kuala Kubu Bharu.

BACA LAGI: Latar belakang pendidikan calon jadi pertikaian? Ini pandangan pengundi PRK KKB

Bersih mendakwa, pengumuman itu bertentangan dengan prinsip pilihan raya yang adil memandangkan ia dilaksanakan sebelum tempoh rasmi berkempen serta dianggap sebagai satu bentuk pembelian undi.

Pada masa sama, Nga berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Azam masih berteka-teki mengenai tempoh perkhidmatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi dan saya masih ada masa sehingga 12 Mei ini iaitu hari lahir saya.

“Saya mengalu-alukan hadiah hari jadi sesiapa yang mahu berikan saya pada hari itu,” katanya secara sinis.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 dan kontraknya dijangka tamat pada 12 Mei. — The Star/ARFA YUNUS/MARTIN CARVALHO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram