SESIAPA yang ingin menghantar anak-anak ke sekolah di Eropah diingatkan supaya lebih berhati-hati berikutan masyarakat Barat sudah menolak kelainan antara lelaki dan perempuan untuk mencapai persamaan.
Hal itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan tiada pengasingan bilik darjah dan keperluan untuk murid menyatakan jantina mereka apabila ke sekolah.
"Sekarang di United Kingdom (UK) dan beberapa lagi negara Barat, tandas asing untuk murid lelaki dan perempuan tidak perlu disediakan dan mereka diajar menerima persamaan total yang menolak jantina.
"Ini jugalah yang diajar dan dipromosi dalam kalangan penuntut bahawa manusia semua sama,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Isnin.
BACA LAGI: Hingga sekarang Anwar belum buktikan saya ada bilion ringgit — Mahathir
BACA LAGI: Lebih 10 kali beri keterangan, rasa diri macam penjenayah — Tun Mahathir
Pergerakan LGBTQ+ merupakan sesuatu yang amat normal di negara-negara Barat.
Mengulas lanjut, Mahathir turut berkata, perkembangan tersebut bukan lagi dianggap budaya baharu, namun sudah menjadi normal kerana Barat menghapuskan nilai-nilai hidup dahulu atas nama kebebasan dan kesamaan.
"Kita sudah lihat perkembangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di seluruh dunia. Negara Asia juga sudah terima perkahwinan dan keluarga sejenis.
“Konsep kahwin dan keluarga tidak lagi diakui dan dimuliakan. Ia sudah menjadi budaya biasa iaitu normal, bukan normal baharu.
“Ramai akan anggap ini khayalan penulis (kerana tua) tetapi bagi saya tidak mengapa jika saya dianggap nyanyuk. Apa yang saya dakwa ini bukan akan berlaku, ia sudah berlaku,” ujarnya.
Tambah Dr Mahathir, perjuangan telah diadakan supaya perbezaan hak dihapuskan dan masyarakat menerima keadilan dalam bidang sosial, ekonomi serta politik.
“Masih juga perasaan tidak puas hati timbul di Barat, ia sudah sampai ke tahap kenapa ada perbezaan kerana ini menghalang persamaan antara mereka.
“Untuk mencapai persamaan, masyarakat Barat sekarang sudah menolak kelainan antara lelaki dan perempuan. Tidak ada keperluan membezakan dan mencatatkan jantina di kad pengenalan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram