PEMBINAAN sesebuah infrastruktur pastinya mengambil tempoh masa panjang untuk disiapkan sepenuhnya lebih-lebih lagi jika ia membabitkan projek mega menelan belanja ratusan ribu ringgit.
Begitupun tidak semua projek yang direncana ini mampu direalisasikan kerana ia antara lain turut dipengaruhi pertukaran kerajaan memerintah baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.
Belum lagi andai sebahagian bajet projek tersebut perlu diteliti dan diperhalusi semula sekiranya ia menelan belanja besar.
Sama seperti pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah yang masih belum dibina sejak perancangannya diumumkan pada 2020.
Pembinaan KXP itu juga dikatakan bakal merancakkan fungsi utama Kedah Aerotropolis yang mana projek lapangan terbang itu dicadangkan bekas Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi tujuan pengangkutan dual-hub kargo selain dijangka mampu mengendalikan 15 juta penumpang setiap tahun.
BACA LAGI: 'Bayang masih tak nampak', ramai tunggu projek lapangan terbang antarabangsa Kulim siap
Projek KXP yang masih belum dibina.
Namun, apa yang menjadi persoalan orang ramai, projek KXP yang seharusnya siap pada Januari 2024 masih belum dapat dibina sehingga sekarang.
Lebih parah apabila, KXP bukan projek pertama yang tergendala kerana terdapat projek lain yang hanya sekadar menjadi sembang kedai kopi.
Berikut dua lagi projek yang pernah dicanang di atas kertas namun akhirnya tergendala.
1. Projek pembetungan berpusat di Kuantan
Pada Februari lalu, kerajaan Pahang ada menyuarakan tentang penyegeraan projek pembetungan di Jalan Teluk Sisik dan sekitar Kuantan yang sudah tergendala sejak tujuh tahun lalu.
Projek berkenaan yang dilaksanakan syarikat Jalur Cahaya Sdn Bhd (Jalur Cahaya) bermula pada Februari 2018 dan sepatutnya siap pada 2023.
Penangguhan projek tersebut juga menyebabkan gangguan lalu lintas di kawasan berkenaan.
BACA LAGI: 'Dah 2024...', rakyat tanya mana kelibat bas elektrik di Kelantan
Kawasan pembetungan yang masih tergendala. — Facebook
Susulan itu, Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang menegaskan bahawa kerajaan negeri sudah mengarahkan syarikat kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek terbabit menyiapkan kerja itu sebelum 30 April ini.
Menurut Chon Siang, pihak kontraktor yang seharusnya menyiapkan projek tersebut berjaya mendapatkan penangguhan tempoh penyerahan projek berikutan masalah luar jangka dihadapi mereka di tapak pembinaan.
Antara masalahnya melibatkan aliran air bawah tanah yang menjadi punca utama berlaku mendapan tanah di beberapa lokasi pembinaan projek itu.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya pihak terlibat gagal menyiapkan kerja seperti dijadualkan, kontraktor terbabit bakal berdepan denda sebanyak RM100,000 sehari.
2. Litar lumba antarabangsa Sungai Petani
Selain KXP, projek litar lumba di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya, Kedah pada asalnya diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir setahun kemudian mengumumkan Majlis Mesyuarat Negeri Kedah bersetuju membangunkan kawasan seluas 20 hektar di Sungai Petani sebagai lokasi Litar Lumba Rakyat.
Projek tersebut dikatakan turut memanfaatkan peminat sukan motocross.
Lokasi tapak litar lumba tergendala sejak 2017. — Facebook
Pada Ogos 2022, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengambil alih jawatan Menteri Besar Kedah memberitahu projek terbabit akan dinaik taraf kepada litar antarabangsa dan akan dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).
Bukan itu sahaja, projek yang dilaporkan mula dibina pada 2017 itu terbengkalai begitu sahaja dengan kawasan tapak yang tidak diuruskan dengan bersih.
Meskipun sudah memasuki 2024, projek tersebut masih tidak memberi bayangan untuk disiapkan sepenuhnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram