Suspek pertama tiada kaitan kes simbah asid Faisal Halim, dalang guna nombor plat palsu — Polis


  • 112
  • Selasa, 07 Mei 2024

Hussein (kanan) berkata, suspek akan dibebaskan selepas tamat tempoh remannya pada Selasa kerana dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan serangan terhadap Faisal.

SUSPEK pertama yang ditahan berhubung serangan simbahan asid terhadap pemain bola sepak negara, Faisal Halim bakal dibebaskan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek akan dibebaskan selepas tamat tempoh remannya pada Selasa kerana dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan serangan itu.

“Dia pada mulanya ditahan kerana nombor pendaftaran motosikalnya sepadan dengan nombor yang dikesan di tempat kejadian.

BACA LAGI: PRK KKB: Pinjam along, sampul raya antara 4 kontroversi hangatkan suhu minggu pertama kempen

“Bagaimanapun, kami percaya pesalah sebenar menggunakan nombor pendaftaran palsu, justeru lelaki pertama yang ditahan akan dibebaskan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek terbabit akan ditahan semula kerana didapati positif dadah.

Dilaporkan bahawa suspek berusia 20-an, ditahan di Pandan Indah, Selangor pada Ahad malam susulan serangan terhadap pemain bola sepak negara itu

Dia kemudian direman dua hari, dengan tempoh tersbeut akan tamat pada Selasa.

Dalam pada itu, Polis menahan suspek kedua di Bandar Baru Bangi pada Isnin (6 Mei).

Pemain sayap negara Faisal, yang juga dikenali sebagai Mickey, diserang dengan simbahan asid pada Ahad di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

BACA LAGI: Latar belakang pendidikan calon jadi pertikaian? Ini pandangan pengundi PRK KKB

Polis menerima maklumat daripada orang ramai pada pukul 5.51 petang bahawa pemain negara itu disimbah dengan cecair dipercayai asid ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Motif di sebalik serangan itu juga tidak dipastikan.

Foto memaparkan kecederaan dialami Faisal ekoran serangan itu tular di media sosial dan ramai pengguna internet terkejut kejadian sedemikian boleh menimpa seorang pemain bola sepak negara.

Beberapa hari sebelum itu, rakan sepasukannya di Harimau Malaya, Akhyar Rashid, disamun di Kuala Terengganu, Terengganu dan mengalami luka serta lebam. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram