PERKHABARAN mendukakan dialami peminat bola sepak tempatan apabila tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim berada dalam keadaan mendukacitakan selepas mengalami serangan pihak tidak bertanggungjawab.
Meskipun sudah menerima rawatan, pemain berusia 26 tahun itu masih dilaporkan belum kembali ke tahap terbaik dengan orang ramai terus meminta supaya menzahirkan doa buatnya.
Perkara berkenaan pasti akan memberi kesan terhadap peminat bola sepak yang terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sebulan lagi untuk menyaksikan kepulangannya.
BACA LAGI: Tiada permohonan peruntukan tiket, aksi JDT-Selangor mungkin tanpa kelibat penyokong lawan
BACA LAGI: Selangor FC hilang 6 tonggak utama sebelum lawan JDT?
Nasib dialami Faisal Halim baru-baru ini cukup menyayat hati. — Facebook/Selangor FC
Selangor FC sebagai kelab yang menagih khidmatnya semestinya akan menjadi pasukan paling terkesan setelah Faisal membantu mereka ke kedudukan Liga Super musim depan.
Bagaimanapun, perancangan masih perlu dibuat dengan aksi liga hanya akan bermula kurang daripada seminggu lagi dengan pertemuan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan cabaran pertama musim ini.
Walaupun tugas berat menanti untuk mencari penggantinya, pengendali pasukan, Nidzam Jamil perlu berbuat demikian dalam misi meneruskan rentak cemerlang mereka.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga nama yang sesuai menggantikan Faisal dengan sentuhan serta sumbangan masing-masing mampu membantu kelab Lembah Klang itu.
1. Reziq Benihani
Pada hari terakhir jendela perpindahan, Selangor FC mengambil keputusan membawa masuk seorang penyerang import, Reziq Benihani yang mempunyai latar belakang cukup hebat.
Selain memiliki pengalaman bersama skuad muda Jordan, dia juga pernah berpeluang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan pencapaian itu meningkatkan nilainya.
Keputusan skuad Gergasi Merah merekrut pemain tersebut adalah untuk mengurangkan harapan pasukan terhadap Ronnie Fernandez selain menambah 'sengat' di jentera serangan.
Reziq merupakan rekrut terakhir skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan lalu. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, dengan ketiadaan Faisal, Reziq terpaksa diletakkan di posisi sayap menyerang untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pemain kebangsaan itu.
Sekiranya Selangor FC tidak memiliki pilihan sebagai penyerang tunggal, mereka masih boleh meletakkan Danial Asri meskipun keputusan itu menumpulkan barisan serangan.
Reziq juga dijangka tidak berdepan masalah besar untuk beraksi sebagai pemain sayap kerana pernah diberikan peranan sedemikian di kelab lamanya, Shabab al-Ordon dan Al Faisaly.
2. Aliff Haiqal Lokman
Sepanjang beberapa musim bersama Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman gagal meraih tempat dalam kesebelasan utama secara kekal dengan pelbagai cabaran perlu dihadapinya.
Namun, sekiranya diberikan kepercayaan, dia masih mampu memberikan impak seperti mana diharapkan dengan hal sedemikian dapat disaksikan dua musim lalu.
Aliff Haiqal (kiri) perlu bangkit untuk mengisi kekosongan ditinggalkan. — Facebook/Selangor FC
Jadi, dengan tempoh ketiadaan Faisal belum diputuskan, pemain berusia 23 tahun tersebut perlu sedar akan harapan diletakkan di bahunya oleh pengurusan serta penyokong kelab.
Jika dia dapat menyedari akan hal berkenaan, terdapat kemungkinan anak jati Kajang, Selangor akan akhirnya menemui sentuhan terbaik seperti mana diharapkannya bertahun-tahun dahulu.
Bagaimanapun, Aliff tidak boleh hanya menunggu peluang itu disajikan kerana pemain muda tersebut perlu membuktikannya setiap kali diturunkan atau di padang latihan.
3. Hein Htet Aung
Pemilihan Hein Htet Aung dalam senarai ini boleh menimbulkan persoalan kerana pemain tersebut kini berada di Negeri Sembilan FC secara pinjaman.
Jendela perpindahan yang ditutup pada awal Mei lalu sekali gus menutup peluang buatnya kembali ke pangkuan majikan dengan dia hanya boleh kembali seawal Januari akan datang.
Htet Aung (kanan) kini dipinjamkan ke skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Tetapi, permohonan masih boleh dibuat terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana situasi dialami Selangor FC cukup berbeza daripada kebiasaan.
Malah, kelonggaran boleh diminta memandangkan JDT pernah memanggil semula Junior Eldstal dari kelab Thailand di luar jendela perpindahan Liga Malaysia.
Meskipun mereka memberi alasan hanya pengumuman dibuat lewat, ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa pengelola liga tanah air itu boleh membuka ruang sedemikian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram