KEJADIAN simbahan asid dialami pemain kebangsaan, Faisal Halim dilihat lebih teruk daripada pemerhatian awal apabila dia kini berada di unit rawatan rapi (ICU).
Berdasarkan laporan media tempatan, penyerang berusia 26 tahun berkenaan sudah menjalani pembedahan selama empat jam bagi merawat kesan sampingan daripada cecair itu.
Namun, kepekatan asid digunakan pelaku menyebabkannya melecur tahap empat dengan saraf dan tulang merupakan organ yang terkesan daripada serangan itu.
BACA LAGI: Kenapa nak tutup mulut Faisal Halim semata-mata jadi jujur?'
BACA LAGI: Ini adalah Malaysia, kami ada karakter dan mentaliti juara — Faisal Halim
Menurut laporan perubatan, kelecuran pada tahap terbabit akan menyebabkannya kehilangan rasa sakit sehingga membuatkan pergerakannya terhad.
Lebih mendukacitakan lagi, terdapat kemungkinan Faisal terpaksa melupakan karier dalam dunia bola sepak meskipun berjaya menerima rawatan terbaik.
Dalam satu hantaran di akaun X Zulhelmi Zainal Azam, pemain Selangor FC itu dikhuatiri perlu bersara lebih awal akibat keadaan menimpanya itu.
Perkhabaran tersebut sudah tentu memberi kesan cukup besar terhadap peminat yang sering ternanti-nanti akan kelibatnya di atas padang, lebih-lebih lagi setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya.
Keadaan awal Faisal Halim selepas mengalami serangan asid pada Ahad lalu.
"Apalah nasib, dia ni berjiwa besar, sentiasa bersemangat setiap perlawanan dia main. Tak pernah menyerah walaupun badan kecil. Itu pun, tetap ada orang dengki. Kekal semangat Mickey (Faisal), semoga cepat sembuh," kata Zoolhealme.
"Semoga pelaku mendapat balasan setimpal. Untuk Faisal, kalau sudah ini takdirnya, harap dipermudahkan urusan dan ALLAH adalah sebaik-baik perancang. Moga Selangor FC beri pencen dan kerja buat Faisal," kata Wandi Kamp.
Kelecuran tahap empat akan memberi kesan sehingga ke tulang dan sendi.
"Kasihannya, baru sahaja berusia 26 tahun. Ada anak bini yang perlu diberi makan. Karier pun sedang di kemuncak. Jahanam punya pelaku," kata M Sofy.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menyatakan pemain berkenaan perlu berehat kira-kira enam bulan untuk mendapatkan kesembuhan.
Bagaimanapun, dengan keadaan semasa yang dikongsikan, terdapat kemungkinan Faisal terpaksa berehat untuk jangka masa panjang demi kesihatan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram