MASYARAKAT Malaysia digemparkan dengan laporan media asing yang mendakwa kerajaan akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini.
Menurut laporan itu, harga diesel didakwa akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dan akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.
Susulan situasi itu, pihak syarikat pengusaha bas tempatan merupakan golongan paling terkesan dengan berita berkenaan dengan pihak terbabit dijangka berdepan masalah besar sekiranya ia dilaksanakan kerajaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Rebut jalan punya pasal, lelaki 'baran' tahan kereta, ajak bertumbuk di Pagoh
BACA LAGI: Tiada keputusan muktamad pemotongan subsidi diesel — PM Anwar
Pengarah Urusan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail, 58, menegaskan bahawa pihaknya kurang bersetuju dengan idea pengurangan subsidi bahan api tersebut.
Jelasnya, ia bukan sahaja memberi kesan terhadap syarikat pengusaha bas, malah masyarakat khususnya golongan B40 juga akan turut terkena tempias sekiranya harga tiket dinaikkan kesan daripada pengurangan subsidi berkenaan.
Pengarah Urusan PEMBAWA, Laili Ismail kurang bersetuju sekiranya idea pengurangan subsidi bahan api dilaksanakan. — Facebook
"Pengurangan subsidi bahan api diesel akan menyebabkan peningkatan kos dari segi bahan api dan gaji pemandu bas yang juga terpaksa dinaikkan bagi menampung kewangan sesebuah syarikat.
"Selain itu, kadar bayaran tiket bas juga akan dinaikkan yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap pengguna yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan pelajar khususnya di musim perayaan.
"Malah, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa banyak syarikat bas akan terpaksa menutup operasi perniagaan kerana tidak mampu untuk menampung segala kos kenaikan yang dilakukan terutamanya bagi pengurangan subsidi bahan api," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Laili turut membangkitkan beberapa cadangan bagi menstabilkan semula krisis yang melanda pihaknya ketika ini.
Ujarnya, pihak kerajaan perlu berlaku adil dengan pihak pengusaha bas sekiranya ingin melaksanakan pengurangan subsidi dengan cara memperbaharui fasiliti di setiap syarikat.
"Masalah subsidi ini boleh diselesaikan jika pihak atasan mengambil pendekatan untuk menyelaraskan setiap bas mengikut spesifikasi tertentu berdasarkan kelas bas yang tersedia.
"Ketika ini, kerusi penumpang bas bagi kelas ekonomi dan eksekutif tiada bezanya, ada yang kerusi berkembar dan ada yang sebuah.
"Jadi sebaiknya ia dibezakan mengikut kelas dan harga tiket yang dikenakan terhadap penumpang yang secara tidak langsung akan membantu pengurusan syarikat bergerak secara efisien dan stabil dengan kos kenaikan bahan api sekiranya subsidi dikurangkan kelak," ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan berita yang dilaporkan media asing itu sebagai tidak beretika kerana belum ada keputusan muktamad yang dibuat di peringkat jemaah menteri berkaitan isu tersebut.
Beliau pada masa sama turut mengkritik laporan media asing berkenaan kerana memetik maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram