SELAGI masih terikat hutang dengan bank, selagi itulah anda dianggap sebagai peminjam, bukan pemilik kepada hartanah yang dibeli.
Itulah hakikat yang perlu diterima pembeli.
Buat mereka yang masih belum habis membayar pinjaman rumah, anda boleh cuba kaedah bayaran prinsipal pembiayaan rumah kepada bank.
Seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Mira Miyaki, yang juga bekas kakitangan sebuah bank bahagian pinjaman perumahan berkongsi langkah untuk menyelesaikan hutang secara bayaran prinsipal.
"Macam mana nak cepat selesaikan pinjaman rumah? Dah bayar bertahun-tahun tapi jumlah hutang macam tidak berkurang pun.
"Aku sangat faham sistem bank yang mana bayaran bulanan kita terbahagi kepada dua iaitu bayaran prinsipal dan kadar faedah.
"Contoh mudah, pinjaman kita RM100,000, manakala ansuran bulanan (bernilai) RM1,000. Kadar faedah RM800, prinsipal RM200.
"Bermaksud pinjaman rumah kita akan tolak RM200 sahaja, hutang rumah akan berbaki RM99,800," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Individu berkenaan berkata, pengguna perlu bijak dan mengambil tahu tentang pinjaman atau pakej yang ditawarkan pihak bank.
Ujarnya, jika mempunyai duit lebih, anda boleh bayar lebih agar dapat segera melangsaikan hutang.
"Tapi jangan silap ya, kalau bayar lebih kena pastikan bayaran lebih itu adalah untuk bayaran prinsipal," jelasnya.
BACA LAGI: Usah percaya gambar internet, cek tunggakan, ejen hartanah kongsi tip beli rumah lelong
Kaedah pembayaran prinsipal seperti menerusi aplikasi dalam talian bank.
BACA LAGI: Microsoft umum pelaburan RM10.5 bilion di Malaysia
Dalam pada itu, Mira Miyaki turut menjelaskan perbezaan tiga jenis pembayaran menggunakan contoh bayaran ansuran sebanyak RM1,000.
1. Ansuran bulanan pinjaman
Ansuran bulanan pinjaman ialah bayaran yang anda perlu bayar setiap bulan seperti biasa iaitu RM1,000.
2. Bayaran pinjaman pendahuluan
Anda sudah bayar ansuran bulanan pinjaman untuk bulan tersebut, kemudian ada duit lebih anda bayar lagi tambahan RM1,000.
Contohnya, Januari bayar RM1,000, tambahan lagi RM1,000 itu anda bayar pada bulan yang sama.
Jadi, Februari tidak perlu bayar kerana sudah bayar siap-siap untuk bulan berkenaan. Hanya bayar semula pada Mac akan datang.
Pengguna perlu mengambil tahu bijak memilih pinjaman atau pakej yang ditawarkan pihak bank. — Gambar hiasan
3. Kurangkan prinsipal
Ini antara yang paling berkesan untuk bantu melangsaikan hutang dengan cepat.
Semua duit lebihan akan tolak baki pinjaman, yang kebiasaannya dipanggil tolak duit pokok.
Bayaran bulanan anda terbahagi kepada dua iaitu bayaran prinsipal dan faedah.
Jika mempunyai duit lebih, anda boleh bayar lebih agar dapat segera melangsaikan hutang. — Gambar hiasan
Contoh, hutang rumah anda berbaki RM100,000 dan ansuran RM1,000. Pecahan bayaran akan jadi begini:
RM200 bayaran prinsipal dan RM800 bayaran faedah. Baki hutang akan jadi RM99,800.
Kemudian apabila ada duit lebih misalnya kerana dapat bonus, anda bayar RM1,800 menggunakan teknik ketiga iaitu kurangkan pinjaman prinsipal. Baki hutang rumah akan jadi RM98,000.
Bulan berikutnya anda masih perlu bayar ansuran bulanan seperti biasa, jangan tidak bayar kerana berisiko timbul masalah dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Setiap kali ada duit lebih teruslah bayar guna teknik ketiga itu kerana setiap bayaran lebih tersebut akan terus tolak baki prinsipal, hutang akan cepat langsai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram