POLIS mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan dikeluarkan berkaitan masyarakat India di negara ini yang masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia.
Proses mengambil keterangan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana oleh tiga pegawai polis itu berlangsung kira-kira satu jam.
Terdahulu, Dr Mahathir tiba pada pukul 2.37 petang dan selesai memberi keterangan kepada polis pada 4.04 petang.
Dr Mahathir dalam sidang akhbar selepas itu menyifatkan beliau diperlakukan seperti penjenayah selepas 10 kali disoal siasat polis sejak beberapa tahun lepas.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa beliau pasti akan disiasat setiap kali mengeluarkan kenyataan, sedangkan ada pihak lain yang mengeluarkan kenyataan perkauman tidak disiasat.
BACA LAGI: SPRM panggil Mirzan Mahathir bantu siasatan, beri 30 hari untuk isytihar harta
"Sekejap-sekejap saya disoal siasat oleh polis, macam saya ini penjenayah. Ada laporan je, polis dok tanya saya (minta beri keterangan).
"Saya sudah beri keterangan kepada polis lebih 10 kali, nampak cukup mudah nak siasat Tun. Bila dah jadi Tun ni, banyak pula kena siasat, yang tak jadi Tun semua terlepas," katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India, mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Kenyataan Dr Mahathir itu dikritik beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktivis di Malaysia.
BACA LAGI: 'Ini bukan zaman Tun M' antara jawapan kononnya Anwar Ibrahim bernasib baik jadi PM
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, ketika soal siasat, pegawai polis bertanyakan 19 soalan kepada dirinya dan beliau memilih untuk tidak menjawab kesemua soalan berkenaan.
"Ada soalan yang ditanya saya boleh jawab seperti di mana rakaman temu bual berkenaan, itu saya boleh jawab.
"Mereka tanya macam mana rakaman itu dibuat? Saya beritahu ia dibuat melalui Zoom, mereka ada di India, tapi bila tanya mengenai kenyataan saya, mereka tunjuk rakaman video, saya tidak nampak apa yang salah.
"Saya ada hak, mempunyai pendirian ataupun fahaman saya tapi nampaknya itu dikatakan salah. Mereka (polis) tanya saya soalan lanjutan, saya kata akan jawab di mahkamah," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram