TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan, sehingga kini, tiada bukti dikemukakan mengenai dakwaan kononnya beliau memiliki wang mencecah bilion ringgit seperti mana pernah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman X peribadinya pada Selasa, Mahathir menjelaskan dakwaan yang dibuat kira-kira setahun lalu itu masih belum dibuktikan.
"Dakwaan telah dibuat Anwar Ibrahim bahawa saya memiliki berbillion ringgit. Saya sendiri tidak tahu saya memiliki berbillion ringgit.
"Oleh itu, saya telah saman Anwar Ibrahim supaya menunjukkan bukti yang saya memiliki berbillion ringgit. Saman dibuat lebih satu tahun dahulu. Hingga sekarang, Anwar tidak dapat tunjuk bukti saya memiliki berbillion ringgit," katanya.
Pada Mei 2023, Mahathir mengemukakan saman bernilai RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan kononnya beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
BACA LAGI: Kerajaan pantau impak peningkatan krisis Timur Tengah kepada ekonomi, rakyat Malaysia — PM Anwar
Mahathir turut mempersoalkan layanan diberikan SPRM terhadapnya.
BACA LAGI: Serangan Iran terhadap Israel adalah tindakan sah — PM Anwar
Bekas Perdana Menteri itu turut mengemukakan sembilan tuntutan berdasarkan writ saman dikeluarkan, termasuk ganti rugi disebabkan penghinaan terhadap plaintif.
Setakat ini, Anwar masih belum memberikan sebarang kenyataan atau respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan Mahathir di media sosial.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberikan layanan ibarat penjenayah terhadapnya.
"Kata Inspector-General of Police (IGP), saya tidak dilayan sebagai penjenayah. Tetapi notis kepada anak saya, Mirzan (Mahathir) menyebut bahawa SPRM mendapati bahawa satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta ini berkaitan nombor aduan IPJ/RPTNO/0477/2023 telah dilakukan oleh Mahathir bin Mohamad.
"Setakat saya tahu, saya tidak pernah disiasat. Tetapi notis SPRM menyatakan saya melaku kesalahan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram