'Dana dibatalkan lepas MUDA tarik sokongan', Syed Saddiq fail semakan kehakiman demi hentikan politik balas dendam


Syed Saddiq mendakwa mengeluarkan dana sendiri untuk membantu rakyat sekali gus tidak meninggalkan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen walaupun dinafikan peruntukan kerajaan.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tiga lagi pengundi kawasannya memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung tindakan kerajaan menghentikan peruntukan dana untuk Parlimen Muar tahun ini.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), menjelaskan bahawa tujuan semakan kehakiman tersebut adalah untuk menentang tindakan politik balas dendam dan memastikan bahawa penduduk kawasannya tidak terjejas dengan keputusan tersebut.

"Objektif semakan kehakiman itu menoktahkah politik balas dendam dan memastikan mereka yang terkesan akan mendapat haknya semula.

BACA LAGI: Naikkan juga gaji minimum pekerja belia swasta — Majlis Belia Malaysia

"Dana itu dibatalkan selepas MUDA menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dana ini perlu digunakan untuk kebajikan rakyat di Muar, antaranya bantuan warga emas, pembelian kerusi roda dan lampin.

"Mereka paling teruk terkesan apabila bantuan disalurkan mengikut warna politik dan kawasan (Parlimen diwakili pihak) kerajaan atau pembangkang," katanya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pengurusan kes berkenaan pada Isnin.

BACA LAGI: Politik pejabat, jadi 'kambing hitam ' antara sebab Gen-Z, milenial tak minat jawatan pengurus — Kajian

Permohonan itu telah diajukan oleh Syed Saddiq bersama dengan tiga pengundi di kawasannya, Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah, dan Muhamad Fadzly Bisri, ke Mahkamah Tinggi pada 23 April lalu.

Walau bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, telah mengesahkan bahawa mereka akan membantah permohonan tersebut.

Syed Saddiq juga mengakui bahawa beliau telah menggunakan dana peribadi untuk membantu penduduk kawasannya walaupun peruntukan kerajaan telah dipotong.

"Kita membuat pelbagai siri meraih dana, berjumpa badan wakil kerajaan (NGO), wakil korporat dan mereka yang berpengaruh di Parlimen Muar untuk menggembleng tenaga memastikan bantuan disampaikan.

"Sebagai contoh, kita berjaya mengagihkan lebih 2,500 laptop dan tablet berkualiti, tidak datang daripada bantuan peruntukan Parlimen tetapi dari rakyat Malaysia yang ikhlas membantu rakyat Muar," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram