BEKAS Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan bahawa cadangan untuk memperkenalkan Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) adalah satu langkah yang membuang masa.
Menerusi satu hantaran di laman X, beliau berkata, meskipun undang-undang sedemikian mempunyai kelebihan tersendiri, ia dilihat masih tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia.
Malah katanya, kewujudan akta tersebut dilihat bakal hanya mencetuskan huru-hara terhadap pentadbiran kerajaan yang terdiri daripada gabungan melibatkan parti komponen yang banyak.
"Bagi kerajaan yang memerintah dengan 21 gabungan parti, ia akan menjadi kucar-kacir. Ia akan menjadi masalah di sini..." katanya.
Bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim.
Zaid menambah, situasi politik di Malaysia ketika ini juga tidak sama seperti dengan negara yang sudah mengguna pakai akta tersebut seperti di Britain.
"Akta penggal tetap berjaya di Britain kerana terdapat wujudnya sebuah parti tunggal yang besar seperti Konservatif atau Buruh mengawal kerajaan.
"Jadi kejayaan itu bukan disebabkan wujudnya penggal tetap tetapi kerana kekuatan parti pemerintah," katanya dalam kenyataan yang ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.
Zaid turut menjangkakan bahawa pelaksanaan akta tersebut hanya akan mewujudkan kestabilan politik yang dibuat-buat.
Malah, dakwanya, tindakan itu juga disifatkan sebagai satu cubaan bagi menguatkan mengukuhkan sebuah parti yang lemah.
“Di sini, gabungan (politik) itu besar dan longgar. Pergerakan ahli tidak dapat dielakkan. Demokrasi di sini memerlukan masa untuk matang
"Mereka yang berkuasa tidak sepatutnya terlalu risau untuk memerintah dalam tempoh yang lama dengan menggunakan cara yang dibuat-dibuat," ujarnya.
My dear Azalina
Don’t waste your time on fixed-term Parliament. Sure, it has its advantages. A weak govt can last five years, which would otherwise have collapsed. We know in advance the election date and that long-term planning of policies is more feasible, etc.
But in a govt...
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) January 14, 2024
Mengulas mengenai ketidakstabilan mungkin berlaku ekoran pengenalan akta berkenaan, Zaid menjelaskan ia boleh terjadi kerana gabungan pemerintah ketika ini diterajui oleh parti yang kecil seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Jika anda mempunyai penggal tetap, tetapi kerana parti yang menerahui kerajaan (PKR) adalah kecil, akan berlaku pergelutan dalaman dalam gabungan itu.
"Perkara ini hanya akan menunggu masa (untuk berlaku). Kerajaan akan menjadi huru-hara, namun kita tidak boleh mengadakan pilihan raya kerana undang-undang penggal tetap," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Azalina supaya menumpukan terhadap pelaksanaan reformasi asas yang lebih penting seperti pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan Akta SPRM 2009.
Pada Ahad, Azalina daalam satu kenyataan berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) akan menjalankan kajian mendalam bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai akta tersebut.
Cadangan mengenai pengenalan akta berkenaan yang akan memastikan kerajaan kekal berkuasa untuk tempoh lima tahun sebelum itu dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada minggu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram