[VIDEO] Kisah 40 tahun lalu jangan salahkan saya, Syed Saddiq bidas Fahmi Fadzil


  • Politik
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Fahmi Fadzil (kiri) sebelum ini mengingatkan Syed Saddiq supaya tidak bersikap hipokrit atas isu kebebasan bersuara.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar semula kenyataan dibuat Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengatakannya bersikap hipokrit.

Dalam satu hantaran di akaun media sosial peribadinya, Syed Saddiq menjawab dakwaan itu dengan menyatakan dia tidak berada di situasi ketika hak kebebasan disekat satu ketika dahulu.

"Kira-kira 40 tahun lepas, saya tidak lahir lagi, saya baru sahaja berusia 31 tahun. Takkan lah mahu salahkan saya atas kisah lebih kurang 40 tahun lalu.

"Macam mana Malaysia nak maju kalau perbandingan yang dibuat adalah kisah kira-kira 40 tahun lalu. Kita perlu bergerak ke hadapan dan menjadi lebih baik," katanya.

BACA LAGI: Muda berdepan pelbagai cabaran tanpa Syed Saddiq

BACA LAGI: Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, sebatan, denda RM10 juta

Sebelum ini, Fahmi yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang yang bermuka-muka ketika bersuara mengenai hak kebebasan.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Muda itu mempersoalkan tindakan kerajaan hari ini yang beberapa kali menutup akaun media sosial yang mempersoalkan pendirian mereka.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mempertikaikan kenyataan Fahmi yang mengatakan orang awam pernah didakwa di bawah Ops Lalang sekiranya bersuara pada 1980-an.

"Anda mahu kata saya hipokrit kerana tidak bersuara berkenaan Ops Lalang? Itu 10 tahun sebelum saya lahir, macam mana saya mahu bersuara?" katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram