SEORANG ahli Parlimen Pembangkang menyifatkan pemberian peruntukan berjumlah RM5.21 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjelang pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu adalah satu tindakan yang pelik.
Malah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyindir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan meminta pemimpin itu untuk melawat kawasan Muar yang menurut beliau turut memiliki 'feng shui baik', yang menjadikannya layak menerima peruntukan sama.
Ia selepas Kor Ming dalam kenyataannya ketika mengumumkan peruntukan berkenaan berkata, pemberian untuk pembangunan daerah Hulu Selangor itu bukan kerana pilihan raya kecil sebaliknya disebabkan 'feng shui' lokasinya yang baik.
"Bagaimana pula ada 'feng shui yang baik' hanya di kawasan yang menghadapi pilihan raya kecil?" soalnya menerusi satu video dimuat naik di Instagramnya pada Jumaat.
BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi
BACA LAGI: Kapal maritim terbakar, hanyut sebelum diselamatkan MPA Singapura
Syed Saddiq juga mendakwa, 'rasuah pilihan raya' kini sudah dibenarkan dalam bentuk 'feng shui' dan 'ong'.
Beliau turut melahirkan kekesalan berhubung perkembangan tersebut lebih-lebih lagi dalam keadaan ahli Parlimen Pembangkang masih belum memperolehi sebarang peruntukan daripada kerajaan.
"Saya tidak tahu nak sedih atau marah memandangkan Ahli Parlimen Pembangkang sudah hampir dua tahun menunggu peruntukan kawasan.
"Namun tidak mengapa, saya harap menteri akan turun ke Muar (yang mempunyai banyak) tempat yang mempunyai 'feng shui' yang baik di kawasan yang memerlukan peruntukan berjuta-juta," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram