GENERASI milenial yang lahir pada dekad 80-an hingga pertengahan 90-an lazimnya mencari peluang pekerjaan dalam bidang yang sama seperti yang dipelajari di universiti.
Tetapi bagi golongan siswazah Generasi Z (Gen Z) pula, mereka kebiasaannya lebih cenderung untuk memilih karier yang sesuai dengan minat dan bakat yang dimiliki.
Namun, melalui satu kajian yang dilakukan oleh platform temuduga teknikal CoderPad baru-baru ini mendapati ramai pekerja dari kedua-dua golongan ini tidak berminat untuk menjawat jawatan pengurus.
BACA LAGI: Naikkan juga gaji minimum pekerja belia swasta — Majlis Belia Malaysia
Dalam laporan yang diterbitkan oleh media antarabangsa Forbes, sebanyak 36 peratus pekerja dalam bidang teknologi secara khususnya menyatakan bahawa mereka tidak berminat dengan tanggungjawab pengurusan.
Ini kerana, kebanyakan dari golongan pekerja itu memilih untuk mempunyai kehidupan yang lebih sejahtera dan keseimbangan antara kerja-kehidupan yang lebih sihat.
Ada pekerja yang sanggup meninggalkan organisasi kerana tuntutan kerja yang terlalu sibuk walaupun upah yang diterima adalah tinggi.
Kebanyakan dari golongan pekerja itu memilih untuk mempunyai kehidupan yang lebih sejahtera dan keseimbangan antara kerja-kehidupan yang lebih sihat.— Gambar Hiasan
Bagi mereka, masa kerja yang panjang dan tekanan yang datang dengan kerja pengurusan juga tidak setimpal walaupun dibayar gaji yang tinggi.
Bagi menguatkan teori tersebut, platform analitik sumber manusia Visier telah membuat tinjauan terhadap 1,000 pekerja sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Hasil tinjauan itu, hanya 38 peratus individu sahaja yang berminat untuk menjadi pengurus dalam organisasi tersebut.
BACA LAGI: Pelajar perlu bijak pilih laluan pengajian, kerjaya terbaik
Antara alasan yang diberikan adalah kerana mereka percaya sekiranya mereka menjawat jawatan itu akan membawa kepada beban kerja yang lebih banyak dan masa kerja yang lebih panjang.
Selain itu, beberapa peserta kajian juga menyatakan bahawa pekerja lebih memilih untuk kekal dalam peranan semasa mereka kerana bimbang bahawa jawatan pengurusan akan menghalang mereka dari melakukan aktiviti harian yang mereka suka.
Melalui satu kajian di Amerika Syarikat juga mendapati pengurus sering kali menjadi sasaran kritikan pekerja. — Gambar Hiasan
Trend ini menunjukkan bahawa generasi muda semakin memilih kualiti kehidupan dan kepuasan dalam kerjaya berbanding dengan pencapaian tradisional.
Ia sekali gus menimbulkan keperluan untuk penyesuaian dalam strategi pengurusan bakat dan pembangunan kepimpinan untuk menarik serta mengekalkan bakat dari generasi yang lebih muda.
Antara sebab lain generasi Z dan millenial enggan menjadi pengurus ialah keseronokan dalam peranan semasa.
Sesetengah individu dalam generasi Z dan Millenial mungkin merasakan bahawa mereka sudah puas dengan peranan atau pekerjaan semasa mereka. Mereka mungkin lebih suka melakukan perkara yang mereka gemari daripada memegang jawatan tinggi.
BACA LAGI: Buruh kasar 'selamat', pelayan restoran antara 3 kerjaya berisiko terancam gara-gara AI
Pada masa sama, melalui satu kajian di Amerika Syarikat juga mendapati pengurus sering kali menjadi sasaran kritikan pekerja.
Situasi ini kebiasaannya dialami oleh pihak pengurusan pertengahan yang terperangkap antara pengurusan tertinggi dan pekerja bawahan.
Mereka ini antaranya perlu berdepan dengan kancah politik pejabat bagi menyelesaikan isu-isu kritikal seperti masalah dalaman demi memastikan operasi kerja berjalan dengan lancar.
Akhirnya mereke akan menjadi sasaran yang mudah untuk dipersalahkan terutamanya dalam situasi di mana sesuatu tidak berjalan seperti yang dijangkakan.
Ini termasuk apabila mereka perlu melaksanakan keputusan yang tidak popular dalam kalangan staf demi memenuhi tuntutan pengurusan tertinggi.
Maka tidak hairan mereka akan menjadi kambing hitam dan dipersalahkan atas keputusan yang dibuat.
Sehubungan itu, generasi Z dan Millenial mungkin enggan mengambil risiko untuk memikul beban tersebut.
Oleh itu, faktor-faktor ini juga menyebabkan ramai individu dalam Generasi Z dan millenial enggan memegang jawatan pengurusan.
Mereka lebih cenderung mencari alternatif yang memberi keseimbangan yang lebih baik antara kehidupan peribadi dan kerjaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram