PEJAM celik, tirai 2023 bakal berlabuh sepenuhnya dalam tempoh beberapa jam saja lagi.
Dalam tempoh setahun ini, bukan sedikit perubahan landskap politik berlaku yang mungkin bukan saja menggembirakan, malah sebaliknya turut mengecewakan penyokong fanatik masing-masing terutamanya apabila melibatkan pemecatan jawatan individu penting dalam sesebuah parti politik.
Di sebalik kisah 2023 yang merupakan tahun pertama pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Majoriti mengimbau semula apa yang berlaku dalam warna-warni kancah dunia politik negara sepanjang tahun ini yang pastinya terlipat kemas dalam sejarah untuk dikenang sampai bila-bila:
1. KJ dipecat daripada Umno
Suhu politik tahun 2023 dimulakan dengan berita hangat pergolakan dalaman Umno yang menyaksikan pemecatan beberapa nama besar di dalam parti termasuk bekas ketua sayap pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Selain itu, seorang lagi 'orang lama' yang dipecat adalah bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Noh Omar.
Pemecatan kedua-dua individu itu dibuat kerana pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno di samping kesalahan dilakukan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, terdapat empat lagi pemimpinnya menerima nasib digantung hak dalam parti selama enam tahun.
Ia melibatkan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan, Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
2. Pemilihan kepimpinan 4 parti utama negara
Tahun 2023 turut menyaksikan berlangsungnya pemilihan barisan kepimpinan beberapa parti utama di dalam negara antaranya Umno, PAS, MCA dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Bagi Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal menduduki dua kerusi tertinggi parti itu bagi tempoh satu penggal lagi.
Ia selepas usul tambahan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) pada 14 Januari meluluskan supaya jawatan Presiden yang disandang Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden (Mohamad Hasan) tidak dipertandingkan.
Keputusan dicapai itu turut diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada awal Mac.
Dalam pemilihan yang diadakan pada 18 Mac, tiga kerusi Naib Presiden diisi dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani, selain penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Umno mengadakan pemilihan partinya pada Mac 2023.
Dalam pada itu, Muktamar Tahunan PAS Ke-69 pada 22 Oktober lalu menyaksikan lima kepimpinan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden dikekalkan untuk menerajui parti itu sehingga 2025.
Kesemua penyandang jawatan tersebut menang tanpa bertanding, sekali gus menyaksikan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal menerajui parti itu sejak dilantik memangku jawatan berkenaan pada 2003.
Turut mengekalkan jawatan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bagi MCA pula, kerusi presiden parti terus dipikul oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selepas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dipilih semula untuk memimpin pada pemilihan parti September lalu.
Datuk Dr Mah Hang Soon juga kekal selaku Timbalan Presiden.
Sementara itu, pemilihan Amanah pada 24 Disember lalu menyaksikan Datuk Seri Mohamad Sabu kekal menerajui parti terbabit dengan jawatan Timbalan Presiden disandang Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
3. Menteri KPDN, Salahuddin Ayub meninggal dunia
Pada 23 Julai 2023, negara dikejutkan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia akibat pendarahan otak.
Allahyarham sebelum itu dilapor dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.
Jenazah Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai selamat dikebumikan pada 24 Julai di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulung, Kampung Serkat, Tanjung Piai.
4. PRN 6 negeri beri gambaran trend sokongan pengundi Melayu
Suhu politik negara dihangatkan dengan gelombang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos.
Meskipun Perikatan Nasional (PN) dilihat memainkan sentimen mengenai kemungkinan berlakunya gelombang pertukaran Kerajaan sekiranya pembangkang menguasai pilihan raya tersebut, namun keputusan menyaksikan pengekalan status quo di semua negeri terlibat.
Tiga negeri kekal ditadbir gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Terengganu, Kelantan dan Kedah kekal di tangan pembangkang.
Namun, di sebalik keputusan tersebut, PRN yang berlangsung itu didapati memberikan gambaran mengenai kelangsungan trend sokongan pengundi Melayu terhadap PN yang mula dikesan sejak PRU15.
Keputusan PRN menyaksikan PN berjaya memperluas pengaruhnya terutama dalam kalangan pengundi Melayu.
Keputusan PRN menyaksikan PN yang baru tiga tahun ditubuhkan berjaya memperluas pengaruh dengan memenangi 146 daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, khususnya di negeri majoriti Melayu.
Kelantan dan Kedah dimenangi PN menerusi majoriti kemenangan besar, sementara Terengganu pula buat buat pertama kalinya merekodkan sejarah apabila gabungan itu menyapu bersih kesemua 32 kerusi dipertandingkan.
Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sokongan terhadap kerjasama parti dalam kerajaan iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat belum cukup kukuh terutamanya dalam menarik sokongan pengundi Melayu.
Ia terbukti selepas gabungan kedua-dua parti itu yang buat pertama kali bekerjasama secara rasmi dalam PRN tersebut mengalami kemerosotan majoriti, selain kekalahan di kerusi DUN kawasan majoriti Melayu.
5. Isu kematian penyandang, pembatalan kemenangan cetus enam PRK
Tahun 2023 turut menyaksikan berlangsungnya enam PRK susulan kekosongan yang berlaku antaranya disebabkan pembatalan kemenangan calon oleh mahkamah dan faktor luar jangka selepas kematian penyandangnya.
Bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman, PRK terpaksa diadakan selepas mahkamah membatalkan kemenangan yang diperoleh calon PAS daripada PN pada PRU15.
Bagaimanapun, calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim berjaya mengekalkan kemenangannya pada PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN di enam negeri, sementara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang di Kemaman pada pilihan raya 2 Disember lalu.
Empat lagi PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya adalah di Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, DUN Pelangai dan DUN Jepak.
Bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, PH berjaya mengekalkan legasi ditinggalkan Allahyarham Salahuddin selepas calonnya daripada Amanah, Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman masing-masing berjaya memenangi kerusi ditandingi pada PRK 9 September lalu.
PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober lalu yang diadakan ekoran kematian Datuk Johari Harun dalam nahas kapal terbang di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos menyaksikan Datuk Amizar Abu Adam mengekalkan penguasaan BN di kawasan itu sejak 1986.
Di Sarawak, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mempertahankan kerusi DUN Jepak menerusi calonnya Iskandar Turkee pada PRK yang diadakan pada 4 November susulan kematian Datuk Talib Zulpilip, 15 September lalu.
6. PN lantik Tun M jadi penasihat SG4
Selepas berjaya menguasai pentadbiran di empat negeri, PN pada pertengahan September lalu dilapor merangka strategi bagi membentuk satu kumpulan negeri yang dikenali sebagai 'State-Goverment 4' (SG4).
Lebih menarik, pembentukan yang melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis itu turut menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Dr Mahathir akan memainkan peranan bagi memberikan nasihat mengenai tatakelola berkesan untuk memastikan pentadbiran di negeri terlibat berjalan dengan efektif.
Menurutnya, jaringan luas dimilik tokoh pemimpin negara itu termasuk dengan negara seperti Jepun dan Korea Selatan juga diharap dapat membantu bagi menarik pelaburan kepada keempat-empat negeri ditadbir PN.
7. Mahkamah putus DNAA 47 kes pertuduhan pecah amanah Ahmad Zahid
Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Keputusan itu ternyata menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat khususnya pimpinan politik di pihak pembangkang.
Susulan daripada itu, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan pada 5 September menegaskan keputusan DNAA terhadap 47 kes dalam perbicaraan tersebut adalah berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima mahkamah.
Jabatan itu memaklumkan semasa membuat keputusan, Hakim menyatakan alasan-alasan dikemukakan pendakwa raya adalah kukuh.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab laporan media yang menyifatkan tindakan Peguam Negara itu sebagai tidak bermoral.
8. Lima MP Bersatu sokong Anwar
Sejak akhir Oktober lalu, kem pembangkang dikejutkan dengan berita mengenai pengisytiharan beberapa ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setakat 8 November 2023, seramai lima wakil rakyat PN daripada Bersatu sudah menyatakan sokongan mereka terhadap pentadbiran Anwar.
Ia melibatkan Zahari Kechik yang merupakan Ahli Parlimen Jeli, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Kesemua mereka menyatakan bahawa pengisytiharan sokongan itu dibuat demi mempertingkat pembangunan dan bantuan untuk kawasan masing-masing khususnya dalam berdepan isu kos sara hidup.
9. Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan
Pada 9 November lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan RM10 juta denda dan dua kali sebatan selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan.
Ia membabitkan kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana daripada sayap pemuda Bersatu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid turut memerintahkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijatuhi hukuman penjara empat tahun sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Hakim membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan perbicaraannya.
Antara pertuduhan dikenakan adalah melibatkan pecah amanah melibatkan dana bernilai RM1 juta, menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.
10. Rombakan Kabinet lepas setahun pentadbiran Anwar
Selepas beberapa bulan timbul teka-teki mengenai kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet, persoalan tersebut akhirnya terjawab dalam satu pengumuman dibuat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 12 Disember lalu.
Perubahan kepimpinan kerajaan itu dilakukan selepas kira-kira setahun pembentukan Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pada 2 Disember 2022.
Perkembangan itu menyaksikan pelantikan tambahan lima menteri dan lima timbalan menteri, penampilan semula lima bekas menteri, serta pertambahan dan pemisahan empat kementerian baru.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, rombakan itu dilakukan bertujuan membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.
Keputusan itu melihatkan jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang, namun lebih rendah berbanding 70 orang barisan Kabinet dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.
Antara menarik perhatian tentunya pelantikan Menteri Kewangan II yang disandang oleh teknokrat berpengalaman, iaitu Ketua Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Selain itu, antara bekas Menteri yang dilantik semula menyertai Kabinet ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Ghani (Kementerian Perladangan dan Komoditi); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Naib Presiden DAP, Gobind Singh Deo (Menteri Digital). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram