Mansuh dulu pencen wakil rakyat — Cuepacs


  • Massa
  • Khamis, 25 Jan 2024

Pemansuhan pencen pada kakitangan awam dikatakan perlu dilakukan terlebih dahulu kepada ahli politik. — Gambar hiasan

SUSULAN isu penamatan pencen untuk penjawat awam, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi pandangan bahawa ia perlu dimulakan dengan ahli politik terlebih dahulu.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik jika mengalami kekangan kewangan yang menyebabkan skim pencen perkhidmatan awam dihentikan.

BACA LAGI: Kerajaan belanja berbilion tanggung pencen MP? 4 fakta perlu diketahui tentang cadangan pemansuhan pencen wakil rakyat

Cuepacs president Adnan Mat (RIGHT).

Adnan berpendapat bahawa tindakan tersebut perlu diguna pakai kepada ahli politik dahulu. — The Star

BACA LAGI: Syed Saddiq setuju cadangan hapus pencen ahli politik

Adnan berkata, ia harus dilakukan kepada ahli politik yang layak menerima pencen ketika ini sekiranya kerajaan masih ingin menamatkan skim tersebut.

"Ketika ini, ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti Exco, menteri, timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen.

"Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu adalah langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, golongan itu bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

"Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja.

"Pada masa sama, Cuepacs menyambut baik pencerahan yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara sahaja bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari ini," katanya.

Bukan itu sahaja, Adnan berkata, perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim itu hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

"Situasi semasa ini tidak membabitkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak sahaja," katanya.

Tambahnya, penjawat awam perlu diberi kebenaran untuk membuat pilihan untuk memilih skim berpencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerj (KWSP).

"Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak.

"Dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP ini dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak," katanya lagi.

Beliau menambah, kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana kerana ia dianggap sebagai keistimewaan terbaik kepada mereka.

"Kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu kelak.

"Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara, perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini," katanya.

Sementara itu, Adnan menggesa pihak kerajaan agar memastikan gaji yang diterima pada waktu ini mampu memberi kesejahteraan hidup bagi penjawat awam sekali gus menjamin wang simpanan untuk hari persaraan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram