SERAMAI 3.5 juta orang dewasa di negara ini tidak menyedari mereka berisiko menghidapi pradiabetes kerana tidak menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan awal, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 76 peratus tidak melakukan saringan kesihatan atau mendapatkan rawatan sehinggalah dikesan menghidap penyakit diabetes atau kencing manis.
Sebagai rekod, pradiabetes adalah satu keadaan di mana gula dalam darah seseorang melebihi tahap normal tetapi tidak cukup tinggi untuk dilabelkan sebagai diabetes dan ia adalah peringkat awal bagi pesakit yang memungkinkan mereka mendapat penyakit diabetes.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan mereka sukar untuk menentukan dan tidak sedar bahawa mereka berdepan penyakit diabetes sekiranya tidak menjalani pemeriksaan.
"Ketika ini kita ada program saringan kesihatan percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dan juga pelbagai program kesedaran seperti membabitkan golongan B40," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Lukanisman melancarkan Majlis Perasmian Program Memerangi Pradiabetes di Putrajaya pada Rabu yang turut dihadiri Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Nurain Mohd Noor dan juga Emeritus Professor Dr Chan Siew Pheng.
BACA LAGI: Ziana Zain masuk gim, berlari 'bina muscle' demi gegarkan pentas Mega Star Arena pada 25 Mei depan
Sementara itu, Lukanisman berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengadakan Program Saringan Kesihatan Nasional melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memudahkan rakyat membuat pemeriksaan kesihatan.
"Untuk menggalakkan lebih ramai mempunyai kesedaran berkaitan perkara ini, KKM melancarkan kempen 'Saring, Sahkan, Runding dan Ubah' yang diadakan secara kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendidik dan menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan," katanya.
Lukanisman berkata, kerajaan membelanjakan RM4 bilion bagi kos rawatan penyakit diabetes merangkumi hampir 50 peratus jumlah perbelanjaan pengurusan tahunan KKM.
Tambahnya, KKM akan terus berusaha untuk mengurangkan penyakit ini dengan mengadakan saringan dan khidmat nasihat bagi mengubah gaya hidup rakyat.
"Pada tahun ini, KKM juga akan memberi fokus untuk mengadakan pelbagai aktiviti gaya hidup seperti menganjurkan Bulan Malaysia Sihat pada September ini termasuk memperluaskannya kepada semua kementerian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram