Lebih 300 bekas pekerja Utusan peroleh sinar, Mahkamah Persekutuan lulus permohonan perbicaraan rayuan


Antara 300 bekas pekerja Utusan yang hadir dalam satu majlis 'reunion' pada 2022 bagi memperingati hari penutupan syarikat tersebut.

MAHKAMAH Persekutuan pada Isnin akhirnya meluluskan permohonan untuk meneruskan perbicaraan kes rayuan melibatkan bekas pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas syarikat itu ditutup sejak hampir lima tahun lepas.

Menurut peguam bekas pekerja tersebut, antara isu yang akan diputuskan di Mahkamah Persektuan nanti adalah sama ada rujukan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia di bawah seksyen 20(3) Akta Perusahaan 1947 tertakluk kepada kebenaran dibawah seksyen 451(2) Akta Syarikat 2016.

Keputusan itu diputuskan oleh tiga panel hakim iaitu Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Datuk Nordin Hasan dan Datuk Abu Bakar Jais.

BACA LAGI: Waris Noor Azlina Jaafar, bekas jurugambar Utusan terima FPM dan Pencen Penakat PERKESO berjumlah hampir RM5,000

317212

Syarikat tersebut memberhentikan lebih 800 pekerja pada Oktober 2019. — Gambar hiasan/The Star

Bekas pekerja Utusan diwakili oleh firma Tetuan Mazri Halim & Partners, yang diwakili peguam Tan Chong Lii, Abd Halim Abdul Karim & Tuan Earn Yee, sementara Tetuan Dennis Nik & Wong yang diwakili peguam Rajvinder Singh, Adhilani Jusoh @ Jusoh & Sera Foong mewakili UHY Advisory (Utusan Melayu).

"Berikutan keputusan hari ini (Isnin), kita akan meneruskan dengan rayuan substantif ke Mahkaman Persekutuan bagi menentukan hak bekas pekerja Utusan yang ditamatkan perkhidmatan untuk meneruskan tuntutan mereka di Mahkamah Perusahaan," katanya dalam satu kenyataan.

Wakil pekerja, Saifol Bakhtiar Hamik berkata, keputusan mahkamah itu memberi sedikit cahaya kepada perjuangan bekas kakitangan yang telah berlangsung hampir lima tahun tanpa sebarang keputusan positif.

"Ia akan membuka ruang untuk meneruskan proses keadilan tuntutan pampasan kepada bekas pekerja, bukan sahaja bekas kakitangan Utusan tetapi juga bekas pekerja syarikat-syarikat lain yang juga terperangkap dengan permainan majikan 'menutup syarikat dengan status pengulungan sukarela'," katanya.

Beliau yang mewakili lebih 200 bekas kakitangan Utusan berkata, bekas pekerja berharap Mahkamah Persekutuan menerima rayuan dan keputusan tersebut untuk dijadikan rujukan precedent bagi kes yang sama, seterusnya membuka ruang keadilan dan memudahkan kepada bekas pekerja membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan.

BACA LAGI: 'Reunion' 300 bekas staf Utusan tuntut pampasan, gaji tertunggak

FCF56B5E-0920-4B3B-A549-977398E89EF9

Akhbar Utusan Malaysia antara terbitan syarikat terbabit. — Gambar hiasan/The Star

Pada Oktober 2019, Utusan Melayu, syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan beberapa majalah terkenal telah menutup operasi syarikat dengan pengulungan sukarela dan syarikat telah diambil alih oleh pelikuidasi UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. untuk proses penutupan sepenuhnya.

Keadaan tersebut turut menyebabkan lebih 800 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan dalam masa 24 jam tanpa sebarang bayaran pampasan yang mana bermulalah proses tuntutan pampasan yang bermula di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa, Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan apa-apa kes tuntutan pekerja terhadap majikan atau syarikat yang telah ditutup dengan status 'pengulungan sukarela' dan hanya boleh berbuat demikian jika mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi.

Rentetan itu, lebih 300 bekas pekerja telah memulakan proses memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membicarakan kes mereka di Mahkamah Perusahaan dan tidak mendapat keputusan yanng diingini termasuk selepas kes dibicarakan di Mahkamah Rayuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram