MICROSOFT mengumumkan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
"(Saya) menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya hari ini (Khamis).
"Satya memaklumkan bahawa gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan itu meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan kecerdasan buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.
BACA LAGI: 'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata
Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang. — Facebook/Anwar Ibrahim
BACA LAGI: Dengar cakap ibu, GK Kelantan tukar karier tinggalkan bola sepak demi bergelar anggota polis
Selain itu tambahnya, ia juga merangkumi penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.
"Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan tersebut yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik," ujarnya.
Kata beliau, pelaburan itu juga selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara.
"Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri Forum Kepimpinan AI Nasional.
"Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
"Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram