[VIDEO] Laluan pejalan kaki penuh dengan kereta dan motosikal, rakyat sukar ikut saranan KKM


  • Massa
  • Rabu, 01 Mei 2024

KKM menyarankan masyarakat Malaysia supaya memperbanyak aktviti berjalan kaki dalam usaha melahirkan generasi yang lebih sihat. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar masyarakat Malaysia memperbanyak aktviti berjalan kaki dalam usaha melahirkan generasi yang lebih sihat bukan sahaja dari segi fizikal, malah untuk kesejahteraan mental.

Menurut KKM, berjalan merupakan salah satu aktiviti fizikal yang paling mudah dan sesuai dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Justeru, kementerian tersebut menerusi satu ciapan di laman X (Twitter) turut berkongsi beberapa faedah yang bakal diperoleh sekiranya seseorang itu konsisten berjalan kaki.

Antaranya termasuk mengekalkan berat badan ideal dan menguatkan tulang serta otot.

"Ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kanser dan darah tinggi, di samping meningkatkan kesihatan jantung.

"Selain itu, aktiviti ini dapat meningkatkan paras hormon endorfin yang seterusnya berupaya menggalakkan perasaan positif," ciapnya pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Jiran ‘naik minyak’ di majlis tahlil sebab terlalu banyak motor parkir depan rumah

BACA LAGI: Rumah terbakar 100 peratus di Sandakan, wanita warga emas rentung

Bagaimanapun menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pengguna media sosial mempersoalkan kebolehlaksanaan perbuatan tersebut sementelah melihat kepada beberapa faktor.

Rata-rata mengakui, keadaan keselamatan yang tidak sesuai menjadi antara punca aktiviti itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pengguna laman X dengan nama akaun @bruinechoco menggesa agar pihak berwajib menyediakan laluan pejalan kaki di lokasi yang bersesuaian untuk keselamatan pengguna.

"Dah tahu banyak faedah berjalan kaki, jadi apa (tunggu) lagi? Sediakanlah lintasan pejalan kaki yang betul-betul.

"Misalnya, sediakan lintasan pejalan kaki di setiap lampu isyarat! Takkan nak tunggu orang awam buat sendiri perancangan dan tularkan?" soalnya.

Bagi @iffycient pula, terdapat juga laluan pejalan kaki yang dipenuhi dengan kereta dan motor.

"Laluan tidak ada, jika ada pun motor kereta banyak parkir di situ, jadi kena masuk ikut jalan raya, namun ia lebih membahayakan.

"Rumput pun panjang, kalau tidak ada laluan pejalan kaki, jadi nampak macam ada ular, kalau kena pijak macam mana?

"Belum masuk kena catcall (gangguan) kalau lalu tepi gerai makan manusia melepak, tolonglah tambah baik kemudahan sikit," jelasnya.

4

Terdapat laluan pejalan kaki yang dipenuhi dengan kereta dan motor hingga menyukarkan pergerakan pejalan kaki. — Gambar hiasan

Sementara itu, @JuruteraAwam turut menggesa agar Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) memindahkan semula lebuh raya ke laluan bawah tanah terlebih dahulu.

"Tanpa kebolehjalankaki (walkability), tidak perlu sembang budaya jalan kaki," tulisnya.

"Terlalu bahaya berjalan kaki di Kuala Lumur, terlalu banyak kereta," kata @fazlanohsem pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram