'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata


  • Podium
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Shahrul enggan mengulas lanjut berkenaan hukuman potongan mata diterima Kedah. — Agensi

MUSIM baharu Liga Super masih belum bermula, namun begitu sudah ada kelab yang telah keciciran mata.

Di saat semua kelab memulakan persaingan dengan angka sifar dalam pungutan mata, cerita berbeza buat Kedah Darul Aman FC yang terpaksa menerima hukuman potongan mata oleh Malaysian Football League (MFL).

Kedah diberikan hukuman potongan tiga mata oleh MFL selepas tidak berjaya untuk menyelesaikan masalah gaji yang dihadapi dalam masa diberikan. Selain itu, mereka turut dikenakan hukuman denda RM50,000.

Disebabkan itu, ia memaksa badan bebas, First Instance Body (FIB) untuk mengenakan hukuman kepada Sang Kenari atas keculasan kelab dalam menguruskan hal gaji pemain.

"Kedah telah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac 2024 namun selepas tarikh akhir itu, kelab berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.

"FIB mengambil maklum surat daripada Kedah bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac 2024.

"Namun, ianya masih tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023," kata MFL dalam kenyataan mereka.

BACA LAGI: Liga belum mula, Kedah kena potong 3 mata, denda RM50,000

2523404

Shahrul merupakan CEO sementara Kedah. — KDA FC

BACA LAGI: Ronaldinho luah mahu sertai Liga M, Perak paling berani cuba 'masuk line'

Keputusan yang dibuat itu nyata menimbulkan reaksi dalam kalangan penyokong Kedah yang nyata kecewa kerana kelab gagal menguruskan masalah kewangan dengan baik.

Sehingga kini, Sang Kenari masih belum memberikan sebarang respons terhadap hukuman yang dikenakan kepada mereka. Malah bagi Ketua Pegawai Eksekutif sementara Kedah, Shahrul Samsudin, kenyataan hanya akan dilakukan menerusi laman rasmi kelab.

"Sebarang kenyataan mengenai situasi semasa dan masa depan Kedah kami hanya akan keluarkan secara rasmi menerusi platform media rasmi Kedah buat masa sekarang," kata Shahrul kepada Majoriti.

Jelas sekali, Shahrul tidak mahu mengulas lanjut perkara tersebut dan berkemungkinan pihak kelab mahu mengambil sedikit masa sebelum memberikan respons terhadap hukuman itu.

Sebelum ini, Kedah dan satu lagi kelab, Kuala Lumpur City FC berpotensi berdepan hukuman mata dan denda jika gagal untuk menyelesaikan masalah gaji dalam masa ditetapkan.

Mujur untuk skuad Warga Kota, mereka berjaya menyelesaikannya pada waktu ditetapkan dan akhirnya terlepas hukuman tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram