Wanita sarat mengandung terduduk tahan sakit kejar peragut di Shah Alam


  • Tular
  • Selasa, 30 Apr 2024

Seorang wanita berbaju merah yang sarat hamil terduduk menahan sakit selepas mengejar suspek dalam kejadian di Shah Alam, Selangor pada Isnin. — Facebook

SEORANG wanita terpaksa menahan kesakitan selepas mengejar seorang peragut dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Lebih parah apabila mangsa sedang sarat hamil ketika kejadian itu.

BACA LAGI: KFC Malaysia sahkan ada cawangan tutup sementara operasi

440091667_18431353510048130_7436093616912976979_n

Orang awam yang turut membantu mangsa ketika itu. — Facebook

BACA LAGI: 6,000 bakal jemaah haji Selangor terima insentif RM500

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook mangsa, Aishah Zakaria, kejadian berlaku ketika dia berada di dalam tandas pusat beli-belah tersebut.

"Saya mangsa kejadian ragut di dalam tandas perempuan.

"Allahuakhbar, masih dalam ketakutan dan terkejut yang teramat sangat sebab seumur hidup tak pernah alami, memang trauma lepas ni nak pergi tandas seorang," tulisnya.

Menurutnya, suspek lelaki itu berjaya ditangkap oleh orang awam dan sudah dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, melalui perkongsian warga Facebook Modernecks, mangsa langsung tidak menyedari keadaan dirinya ketika sesi mengejar itu.

"Mangsa perempuan mengandung kata, 'akak pun tak sedar yang akak tengah mengandung waktu kejar dia ni tadi'.

"Ujarnya sambil duduk ditepi dalam kesakitan," katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita terbabit yang bekerja sebagai operator kilang pada 10.57 malam.

Beliau berkata semasa kejadian, mangsa telah pergi ke pasar raya itu berseorangan untuk membeli persiapan bersalin bagi menyambut kelahiran anak ketiga.

"Semasa mangsa berada di tandas wanita, beliau menyedari beg sandangnya yang di sangkut di pintu tandas telah dilarikan oleh suspek.

"Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan bertindak mengejar serta menjerit meminta bantuan orang ramai, sebelum lelaki itu berjaya ditangkap bersama beg sandang milik mangsa," katanya.

Beliau berkata wanita itu tidak mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Shah Alam untuk menunggu waktu melahirkan anak.

Mohd Iqbal berkata siasatan mendapati lelaki yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek kini direman hingga 2 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa menerusi talian 013-6616 845 bagi membantu siasatan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram