[VIDEO] Perjalanan pergi kerja bertukar tragedi, wanita tergolek atas jalan lepas kena ragut rider Ysuku di Klang


  • 112
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Tangkap layar daripada insiden ragut yang sempat dirakam pengguna jalan raya lain.

TULAR di media sosial baru-baru ini apabila terjadinya kejadian ragut melibatkan dua penunggang motosikal di atas jalan raya sekitar Klang, Selangor.

Dalam satu rakaman dashcam, kelihatan seorang penunggang lelaki berbaju putih menunggang kenderaan dipercayai model Yamaha Y15 merapati seorang lagi penunggang perempuan menaiki Yamaha LC.

Dia kemudiannya bertindak merampas beg silang dibawa mangsa yang ketika itu difahamkan berada dalam perjalanan ke tempat kerja.

Tindakan itu menyaksikan wanita berkenaan terjatuh sebelum tergolek beberapa kali di atas jalan, namun bernasib baik kerana tidak dilanggar kenderaan lain.

Berdasarkan info dikongsikan orang awam, pelaku didapati menutup nombor pendaftaran kenderaan sebelum melakukan jenayah tersebut bagi mengelak dikenal pasti pihak berkuasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berdesup dia pergi', 2 suspek senyap-senyap buka pagar rembat Ysuku di Gombak

BACA LAGI: Remaja maut Ysuku rempuh lembu lintas jalan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan pihaknya sudah mendapat aduan daripada mangsa pada Isnin.

"Mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua belah tapak tangan, kedua-dua belah lutut dan bahu kiri. Mangsa sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Beg silang mangsa yang diragut suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi dan wang tunai sebanyak RM114," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pihak polis dalam usaha mengenal pasti suspek terlibat dan akan membuat tangkapan dalam tempoh masa terdekat selain meminta orang awam untuk tidak berkongsi video tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram