[VIDEO] Budak 10 tahun dirakam tersenyum depan kek 'beracun' ragut nyawa semasa sambutan hari jadi


  • Benua
  • Ahad, 31 Mac 2024

Tangkap layar video tular memaparkan mangsa tersenyum ketika memotong kek yang dipercayai menyebabkan kematiannya pada 25 Mac lalu. — Agensi

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Patiala, Punjab, India meninggal dunia selepas disyaki keracunan makanan pada 25 Mac selepas menikmati kek coklat ketika sambutan hari jadinya.

Menurut laporan NDTV, datuk kepada kanak-kanak malang itu memaklumkan seluruh keluarga termasuk adik perempuannya jatuh sakit selepas memakan kek itu yang ditempah secara dalam talian dari sebuah kedai roti.

Lebih menyayat hati, budak perempuan tersebut yang dikenali sebagai Manvi sempat dirakam memotong kek tersebut dengan muka penuh senyuman di hadapan keluarganya ketika majlis sambutan ulang tahunnya.

Video berkenaan turut tular di media sosial selepas kematiannya.

Media melaporkan, majlis sambutan hari jadi itu berlangsung sekitar pukul 7 malam pada 24 Mac.

BACA LAGI: Video tular diambil di luar konteks, cubaan calar imej — Fadhlina

BACA LAGI: Haram guna perkataan kafir: Fadhlina Sidek buat laporan polis terhadap 2 pengendali akaun Facebook

Bagaimanapun, menjelang pukul 10 malam pada hari sama, beberapa orang ahli keluarga terbabit yang memakan kek berkenaan mula mengalami sakit perut dengan ada antara mereka termuntah.

Pada masa sama, Manvi mengadu dirinya merasa sangat dahaga di samping mengalami kekeringan mulut.

Dia juga sempat meminta air sebelum tidur.

Kesihatan Manvi bagaimanapun semakin merosot dan memaksa keluarga tersebut kemudiannya membawa kanak-kanak malang itu ke hospital keesokan harinya.

Di pusat rawatan, usaha pegawai perubatan memberikan sokongan oksigen dan elektrokardiogram (ECG) untuk memantau aktiviti jantung mangsa bagaimanapun gagal untuk menyelamatkan mangsa.

Manvi dilaporkan meninggal dunia sejurus selepas tiba di hospital.

Dalam pada itu keluarga mangsa mendakwa kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada kek coklat berkenaan yang diperolehi daripada sebuah kedai roti.

Polis tempatan menyiasat kedai roti berkenaan di bawah kesalahan kematian kerana kecuaian dan penjualan makanan atau minuman berbahaya.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilaporkan dibuat setakat Ahad, lima hari selepas kira-kira seminggu kejadian tragis berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram