Anjing punca budak nyaris digilis ada permit, kena tangkap MPM


  • Primer
  • Isnin, 29 Apr 2024

Tangkap layar daripada rakaman dashcam memaparkan kanak-kanak itu hampir digilis sebuah Proton Wira pada Sabtu.

SEEKOR anjing yang mengejar seorang kanak-kanak lelaki sehingga hampir digilis kereta di Jalan Haji Mohamad Ali di Manjung, Perak pada Sabtu sudah ditangkap Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM berkata, Unit Haiwan Merayau, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan mengambil tindakan demikian terhadap anjing berwarna putih terbabit selepas menerima rakaman video yang tular berhubung kejadian pada pukul 9 pagi Sabtu.

Katanya, tangkapan itu dilakukan berpandukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993.

"Berdasarkan semakan dan siasatan, anjing tersebut mempunyai permit daripada MPM serta mempunyai pemilik. Justeru, MPM telah menangkap tiga anjing termasuk anjing terbabit pada hari yang sama, pukul 11.00 pagi kerana pelanggaran syarat dan peraturan Undang-undang Kecil.

"Hal ini berikutan pemilik gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan anjing tidak menyebabkan kacau ganggu kepada jiran-jirannya, salakan yang tidak berhenti henti atau selainnya dan mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa anjing itu tidak merayau di luar kawasan premis pemiliknya dan anjing itu berikat tali apabila dibawa keluar dari premis pemiliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Anjing liar punya pasal, budak nyaris terperosok bawah kereta Wira

BACA LAGI: [VIDEO] Pejalan kaki buat bodoh biarkan budak kena serang sekawan anjing liar sampai parah

Tambahnya, anjing yang mengancam nyawa boleh diambil tindakan pelupusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berdasarkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

"MPM akan merujuk JPV untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang kanak-kanak hampir digilis sebuah Proton Wira ketika sedang melarikan diri daripada seekor anjing liar.

Dalam satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah lori, seorang kanak-kanak kelihatan cemas sehingga tidak menyedari keadaan sekeliling apabila dikejar haiwan liar itu.

Namun, nasib menyebelahi kanak-kanak lelaki tersebut apabila Proton Wira yang berada di belakang sempat mengelak daripada menggilisnya sambil dia bangun untuk menyelamatkan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram