PERLAWANAN cukup mendebarkan disaksikan ketika separuh akhir Piala FA antara Manchester United dan Coventry City di Stadium Wembley, London pada Ahad.
Kelebihan boleh dikatakan berpihak kepada skuad The Red Devils yang berentap dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara lawan mereka hanya bersaing dalam divisyen kedua.
Perbezan tersebut dimanfaatkan mereka apabila mendahului dengan tiga gol selepas 58 minit dengan Scott McTominay, Harry Maguire dan Bruno Fernandes masing-masing menjaringkan satu gol.
Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan menyaksikan Manchester United dibolosi sebanyak tiga kali, sekali gus membuatkan kedudukan 3-3 pada masa penuh.
Skor berkenaan membuatkan rata-rata penyokong berang kerana ia merupakan satu-satunya peluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak tahan kena maki, bintang pinjaman Manchester tunjuk isyarat lucah ke fans sendiri
Di samping itu, kekalahan kepada Coventry City pastinya sukar diterima memandangkan jurang antara kedua-dua kelab cukup besar, lebih-lebih lagi dari segi kewangan.
Perasaan kecewa itu semakin meninggi apabila pada minit ke-120 permainan, skuad kendalian Mark Robins meraih jaringan pendahuluan menerusi Victor Torp.
Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas semakan menggunakan video bantuan pengadil mendapati pemain Coventry City, Haji Wright berada dalam keadaan ofsaid.
Keputusan pengadil untuk membatalkan jaringan itu pasti memberi kelegaan buat penyokong Manchester United yang tidak mahu menelan kekecewaan itu.
Namun, apa lebih menarik mengenainya adalah apabila beberapa peminat setia kelab itu kelihatan mahu kembali ke tempat duduk masing-masing selepas ratusan daripada mereka cuba meninggalkan stadium lebih awal.
BACA LAGI: [VIDEO] Fans rakam bukti kem Man United bergolak walau lepas ke final Piala FA
Ratcliffe menyeru penyokong Manchester United untuk terus bersabar. — Agensi
Tindakan itu dibuat setelah masing-masing gagal menerima hakikat Coventry City menjaringkan gol keempat mereka, namun akhirnya berasa lega dengan ia dibatalkan.
Insiden berkenaan sempat dirakam orang awam memaparkan beberapa daripada mereka berpusu-pusu cuba memasuki Stadium Wembley, tetapi ditahan pihak keselamatan.
Kelakuan mereka boleh disifatkan agak kebudak-budakan kerana sokongan hanya diberikan ketika Manchester United berada di puncak dan tidak sebaliknya.
Malah, pemegang saham minoriti Manchester United, Sir Jim Ratcliffe juga seakan-akan bersetuju kerana menyifatkan sebahagian pengikut kelab itu bersikap kurang sabar.
"Mereka terlalu ghairah dan tidak sabar. Saya akan sedih dengan situasi sebegitu, tetapi ia adalah satu perjalanan panjang. Suka atau tidak, mereka perlu bersabar," katanya.
Selepas ini, Manchester United bakal bertemu seteru utama, Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA yang bakal berlangsung di venue sama pada 25 Mei depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram