SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan empat calon yang sah bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Kerajaan Perpaduan, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
Kerajaan Perpaduan diwakili Pang Sock Ta, manakala Khairul Azhari Saut (PN), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin mewakili PRM.
Pusat penamaan calon bagi PRK DUN KKB bertempat di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor dibuka pada pukul 9 pagi, Sabtu.
BACA LAGI: PRK Kuala Kubu Bharu: Persaingan sengit rebut undi Melayu, pengundi India bakal jadi penentu
Perubahan demografi di Kuala Kubu Bharu menyaksikan parti bertanding kini mengubah strategi mereka khususnya dalam pemilihan calon. — Gambar hiasan
Sesi penamaan calon menyaksikan lima calon termasuk bekas pemimpin tempatan DAP, Chng Boon Lai menyerahkan borang pencalonan kepada SPR pada pagi Sabtu.
Permohonan borang Boon Lai bagaimanapun tidak diterima SPR atas faktor tidak mencukupi syarat ditetapkan.
Difahamkan, pencalonannya tidak diterima kerana gagal mengemukakan laporan perbelanjaan ketika bertanding pada tahun lalu.
Sementara itu, Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Yuhanas Auree Kamaruddin dilaporkan berkata, Boon Lai ada menghantar borang, namun menarik semula permohonan tersebut pada saat akhir.
Justeru ujarnya, ini menjadikan tiada kertas permohonan ditolak pihak SPR pagi Sabtu.
Chng Boon Lai
Untuk rekod, PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.
PRK KKB merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram