PRK Kuala Kubu Bharu: Persaingan sengit rebut undi Melayu, pengundi India bakal jadi penentu


  • Politik
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Perubahan demografi di Kuala Kubu Bharu menyaksikan parti bertanding kini mengubah strategi mereka khususnya dalam pemilihan calon. — Gambar hiasan

PARTI bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu dijangka memberi tumpuan bagi menarik sokongan pengundi Melayu yang kini membentuk kumpulan majoriti di kawasan tersebut.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, perubahan demografi di kawasan tersebut menyaksikan pihak bertanding kini mengubah strategi mereka khususnya dalam pemilihan calon.

Ia selepas beberapa parti yang dijangka bertanding pada PRK kali ini memberi gambaran mereka bakal meletakkan calon berbangsa Melayu.

Keputusan itu sekiranya benar-benar dilakukan bakal mencipta sejarah bagi kawasan tersebut yang secara tradisinya diwakili oleh pemimpin Cina.

"Kalau kita lihat demografi, pengundi Melayu hanya 36 peratus tapi sekarang ini sudah berganjak hampir 50 peratus. Ini menjadikan kawasan ini berubah menjadi menjadikan kawasan majoriti Melayu.

"Jadi langkah meletakkan calon Melayu ini dibuat dengan harapan mereka ingin merebut segmen pengundi Melayu itu yang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu agak terpecah," katanya ketika dihubungi Majoriti.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Untuk rekod, Kee Hiong daripada DAP berjaya memenangi kerusi tersebut buat tiga penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013.

Mendiang kemudian bertanding atas tiket PKR pada PRU14 (2018) dan menang besar dengan mengalahkan Wong Koon Mun (Barisan Nasional) yang pernah memenangi kerusi itu pada PRU12 (2008).

Kee Hiong buat kali pertama berjaya merampas kerusi itu daripada Koon Mun pada PRU13.

Pada waktu ini, demografi bagi DUN ini terdiri daripada pengundi Melayu yang merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

BACA LAGI: Pernah jadi kubu kuat MCA, kreativiti muka baharu dan tradisi bakal pecah antara trivia menarik PRK Kuala Kubu Bharu

Election workers Amelina Idris (L) and Suhaili Saufi (R)  making a final prepartion for polling day  at  Polling centre at SMK Puncak Jalil in Seri Kembnagan.(18/11/2022). —AZHAR MAHFOF/The Star

Hari pengundian PRK Kuala Kubu Bharu akan berlangsung pada 11 Mei depan. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, Hisommudin berkata, bagi Pakatan Harapan (PH) yang diwakili DAP, keputusan meletakkan calon Melayu itu dilakukan dengan harapan mereka dapat menarik sedikit sokongan kumpulan tersebut terhadap gabungan itu.

Ia selepas dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN), sokongan pengundi Melayu termasuk di peringkat Parlimen bagi kawasan tersebut dilihat berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

"Mereka cuba untuk menarik paling kurang sekitar 20 hingga 25 peratus undi Melayu sudah mencukupi untuk melepasi garis kemenangan di Kuala Kubu Bharu.

"Dengan syarat mereka mampu kekalkan sokongan pengundi Cina dan India," ujarnya.

Bagaimanapun, Hisommudin berkata, PH yang kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan berkemungkinan berdepan cabaran agak besar untuk tujuan tersebut.

Ini kerana pada PRK kali ini, Umno dijangka mengalami kesukaran untuk meyakinkan ahlinya untuk bagi menyokong DAP.

Dalam pada itu, bagi PN pula, Hisommudin berkata, keputusan meletakkan calon Melayu dijangka berupaya mengukuhkan lagi trend sokongan pengundi kumpulan tersebut terhadap gabungan itu.

"Daripada keputusan PRU lalu yang menyaksikan PN berjaya menawan Hulu Selangor, mereka mungkin berharap pengundi Melayu terutamanya anak muda kekal kepada PN.

"Jadi mereka hanya perlu mencuri sedikit daripada pengundi bukan khususnya mungkin etnik India yang berpotensi melakukan protes terhadap PH.

"Jika ini berlaku, ini mungkin sudah cukup membolehkan mereka mendapat kemenangan tipis," ujar Hisommudin yang turut menjangkakan pengundi India turut berpotensi menjadi penentu sebenar kemenangan pada PRK kali ini.

"Dengan ambil kira konteks perebutan pengundi melayu itu sengit sementara undi Cina pula mungkin agak tiada perubahan, pengundi India yang mewakili 18 peratus demografi pengundi di sini sebenarnya boleh jadi penentu," ujarnya.

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

2652302

Kuala Kubu Bharu mengalami perubahan demografi yang menyaksikan ia kini menjadi kerusi majoriti pengundi Melayu. — Gambar Hiasan/Travel.selangor

Untuk rekod, Kuala Kubu Bharu merupakan satu daripada tiga Dewan Undangan Negeri yang terletak di bawah Parlimen Hulu Selangor.

Pada PRU15 yang lalu, PN merampas kerusi parlimen Hulu Selangor selepas wakil PAS, Hasnizan Harun mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Sathia Prakash Nadarajan dengan majoriti tipis 1,562 undi.

Dalam PRN pada Ogos tahun lepas, PN juga menang dua daripada tiga kerusi DUN di parlimen itu masing-masing DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Hari pengundian PRK Kuala Kubu Bharu akan berlangsung pada 11 Mei depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram