Sentimen anak jati sahaja tak cukup, calon PN ada cabaran lebih besar rampas DUN KKB — Penganalisis


  • Politik
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Kartini berkata, calon PN tidak boleh untuk bergantung semata-mata terhadap sentimen anak tempatan sekiranya mahu memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

KEPUTUSAN Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu yang juga anak tempatan bagi bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor disifatkan sebagai satu langkah yang berani.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, tindakan gabungan itu dilihat merupakan satu strategi yang baik khususnya dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan calon PN tidak boleh bergantung semata-mata terhadap sentimen anak tempatan sekiranya mahu memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

"Persoalan anak negeri mungkin jadi kurang relevan bergantung kepada sentimen semas. Walaupun kawasan ini majoriti pengundi Melayu, tapi kombinasi bukan Melayu juga besar dan mencapai 48 peratus.

"Dalam kalangan pengundi Melayu ini, tidak semua adalah penyokong PN. Mungkin sebahagian besar ada pro-Pakatan Harapan (PH) dan boleh sokong DAP.

"Jadi ini boleh menyebabkan satu cabaran besar kepada calon PN," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Kehilangan suami, hilang upaya jatuh tangga tinggi, waris dan pencarum terima manfaat bantuan PERKESO

2653221

Tarikh pengundian PRK Kuala Kubu Bharu akan berlangsung pada 11 Mei depan. — Gambar hiasan

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat merompak, suspek tertiarap kena cekup polis depan pintu

Mengulas lanjut, Kartini berkata, pada waktu ini, sentimen rakyat lebih terarah kepada beberapa isu utama seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup dan juga isu-isu berkaitan dengan kepentingan bumiputera.

Sehubungan itu, beliau berkata, keupayaan kemenangan seseorang calon dilihat berkemungkinan tertumpu kepada sejauh mana mereka boleh memberikan penjelasan terhadap kesemua masalah tersebut.

"Jadi dalam keadaan ini, sentimen anak tempatan dah tak penting kerana sentimen semasa mengatasinya," ujarnya.

PN pada Khamis mengumumkan gabungan itu akan mempertaruhkan Ketua Bersatu Hulu Selangor yang juga anak tempatan, Khairul Azhari Saut untuk bersaing di PRK Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu, Kartini berkata, sentimen semasa dilihat tidak berpihak kepada PH terutamanya dalam usaha menarik pengundi Melayu, gabungan itu tetap mempunyai peluang untuk mempertahankan kerusi tersebut.

"Jadi ada kemungkinan untuk PH menang walau letak calon Cina. Ini kerana kombinasi peratusan bukan Melayu Cina dan itu adalah 48 peratus. Maknanya dia hanya perlu hanya tiga peratus untuk dapat majoriti tipis," katanya.

Pada waktu ini, demografi bagi DUN ini terdiri daripada pengundi Melayu yang merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Hari penamaan calon akan berlangsung pada Sabtu dengan tarikh pengundian ditetapkan pada 11 Mei depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram