Anjuran Rumah Terbuka Kerajaan Selangor ketika penamaan calon langgar akta pilihan raya — Bersih


  • Politik
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Hari penamaan calon bakal diadakan pada Sabtu sementara hari pengundian bakal diadakan pada 11 Mei.

PENGANJURAN Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor pada Sabtu boleh dianggap bercanggah dengan pelbagai peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Dalam kenyataan pada Jumaat, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan Rumah Terbuka di Kuala Kubu Bharu, Selangor sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil PRK Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, penetapan lokasi dan masa penganjuran majlis berkenaan ketika pilihan raya sedang berjalan adalah tindakan yang tidak mengikut peraturan.

BACA LAGI: PN pertaruh anak tempatan, Khairul Azhari Saut calon di PRK Kuala Kubu Bharu

"Bersih ingin mengingatkan kerajaan Selangor bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam AKPR.

"Berdasarkan risalah program yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya.

"Pemberian atau jamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah kesalahan mengikut Seksyen 8, manakala pemberian duit raya merupakan kesalahan Seksyen 10 AKPR," katanya.

Tambah Bersih, Selangor sepatutnya sedar penganjuran tersebut menggunakan pelbagai sumber kerajaan negeri.

Justeru, katanya, kerajaan Selangor mesti memastikan program berkenaan tidak digunakan sebagai wadah memperkenalkan calon parti kerajaan atau berkempen termasuk dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen lain bagi memenangkan calon mereka.

DUN Kuala Kubu Bharu akan mengadakan pilihan raya kecil ekoran kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram