CUBAAN seorang lelaki untuk memecah masuk sebuah kediaman di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor gagal selepas dia berjaya ditahan polis ketika melakukan kegiatan tersebut.
Kejadian penangkapan suspek tersebut tular selepas ia dikongsikan oleh orang awam menerusi beberapa foto dan video di media sosial sejak Khamis.
Berdasarkan perkongsian dibuat, beberapa anggota polis pada awalnya dilihat tiba di hadapan sebuah rumah yang dipercayai sudah dipecah masuk.
Kemudiannya, video dimuat naik memaparkan tindakan anggota yang bergelut dan menahan suspek di pintu depan kediaman berkenaan.
Lelaki berkenaan dilihat baring tertiarap sambil pergerakannya dikawal oleh polis bertugas.
Pada masa sama, anggota terbabit juga didengar bertanyakan dengan nada agak tinggi berhubung keberadaan seorang rakan subahatnya yang dipercayai sudah melarikan diri.
BACA LAGI: Tergesa-gesa mohon FSA2 KWSP nak pakai raya, jangan sampai tertipu khidmat i-Cagar di Facebook
BACA LAGI: Dividen konvensional KWSP perlu 'dicuci', tegas pakar kewangan Islam
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 20 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kes pecah masuk sebuah rumah pada pukul 9 malam, Rabu.
Menurutnya, berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat disebabkan suspek cuba melarikan diri namun cubaannya gagal.
"Sebilah pisau pemotong daging dan sebuah kerusi plastik bewarna coklat yang mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki satu rekod kesalahan dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati negatif.
"Perintah reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari mulai hari ini (Khamis) hingga Ahad ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun dan hendaklah dikenakan denda dan jika kesalahan mencuri maka tempoh pemenjaraan boleh dilanjut sehingga 14 tahun.
Jelasnya, bagi mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali yang kedua atau yang kemudian hendaklah juga dikenakan denda atau sebatan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan dan menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram