SEDEKAD penubuhan, Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertaraf antarabangsa mengintegrasikan pelbagai jenis rawatan kepada individu memerlukan.
Ia selari dengan matlamat untuk membantu bukan sahaja daripada sudut perubatan rehabilitasi, malah menawarkan latihan kemahiran sosial.
Secara dasarnya, ia bertujuan memulihkan Orang Berinsuran PERKESO dan golongan pekerja secara fizikal dan vokasional sehingga dapat mengembalikan keupayaan masyarakat.
BACA LAGI: Pusat rehab PERKESO bertaraf dunia, ini apa yang anda perlu tahu tentang PRPTAR
Satu daripada pusat rehabilitasi PERKESO terletak di Melaka.
Namun, perkhidmatan rehabilitasi Pusat Rehabilitasi PERKESO juga dibuka kepada golongan bukan pencarum bagi mendapatkan rawatan yang sama.
Selain itu, terdapat beberapa perkara lagi yang berkemungkinan tidak disedari ramai tentang pusat rehabilitasi tersebut.
1. Jenis rawatan ditawarkan
BACA LAGI: Pusat Rehabilitasi PERKESO beri sinar baharu pencarum kembali jalani hidup normal
Antara rawatan fizikal di pusat rehabilitasi itu.
Menurut Ketua Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Rehabilitasi, Dr Nur Liyana Kahar, Pusat Rehabilitasi PERKESO mempunyai lebih 50 jenis rawatan rehabilitasi.
Terdapat beberapa kategori utama kepada setiap jenis rawatan yang ditawarkan mengikut kesesuaian keadaan pesakit seperti rehabilitasi klinikal, rehabilitasi fizikal dan kefungsian serta rehabilitasi vokasional.
"Rehabilitasi klinikal adalah rawatan perubatan rehabilitasi seperti rawatan neuromodulasi, pengurusan spastik, penelanan dan lain-lain termasuk Prostetik dan Ortotik (alat sokongan fizikal).
"Rehabilitasi fizikal dan kefungsian pula banyak melibatkan terapi antaranya fisioterapi, terapi cara kerja, terapi neurobotik, program kembali bekerja dan banyak lagi.
"Manakala, rehabilitasi vokasional pula melibatkan latihan kemahiran untuk membantu pesakit yang terjejas menggunakan keupayaan baharu sebagai sumber menjana pendapatan," katanya kepada Majoriti.
Dr Liyana yang berpengalaman dalam bidang rehabilitasi hampir 10 tahun.
Bukan itu sahaja, Pusat Rehabilitasi PERKESO turut mengambil peduli tentang kesihatan mental dengan menyediakan rawatan psikologi.
Ditambah lagi dengan perkhidmatan memandu kereta dan motosikal bagi pesakit yang memerlukan bantuan untuk melakukan perkara tersebut.
2. Kriteria pesakit
Pesakit dibantu oleh staf pusat ketika sesi rawatan.
Jelas Dr Liyana lagi, Pusat Rehabilitasi PERKESO menerima semua keadaan individu yang mahu mendapatkan rawatan rehabilitasi itu secara umumnya.
Namun, pesakit dengan masalah kehilangan upaya atau mempunyai limitasi dalam melakukan sesuatu antara golongan yang difokuskan.
"Sebagai contoh, masalah neurologi. Pesakit tiba-tiba lumpuh, ada strok dan sebagainya.
"Tetapi, kami juga akan melihat kepada kestabilan pesakit daripada segi perubatannya dan ketersediaan untuk menjalani rehabilitasi.
"Ia bertujuan untuk membolehkan mereka ini melakukan rehabilitasi secara intensif (rawatan dilakukan 4 ke 6 jam setiap hari," katanya.
Perkhidmatan latihan menguruskan rambut juga disediakan di pusat itu.
Selain itu, bagi pencarum PERKESO, mereka perlu mempunyai kelayakan untuk mendapatkan faedah rehabilitasi.
"Bagi skim keilatan, mereka perlu kadar caruman yang cukup, minimum caruman adalah 12 bulan dan permohonan dibuat sebelum mencapai umur 60 tahun.
Berbeza dengan skim bencana kerja, tiada tempoh minimum caruman diperlukan tetapi perlu disahkan bencana kerja.
Pencarum juga perlu mendapatkan surat rujukan daripada doktor yang merawat bagi tujuan kemasukan ke Pusat Rehabilitasi PERKESO.
Selain pencarum PERKESO, pesakit bukan pencarum juga boleh menerima rawatan di sini.
"Apa yang membezakan mereka adalah kos rawatan rehabilitasi adalah di bawah tanggungan mereka sendiri," ulasnya.
3. Tempoh rawatan
Tiada tempoh ditetapkan bagi setiap pesakit di pusat rehabilitasi PERKESO.
Setiap pesakit mempunyai keadaan dan keupayaan berbeza. Justeru, Pusat Rehabilitasi PERKESO tidak mempunyai had tempoh secara tetap bagi mereka yang mendapatkan rawatan.
Berdasarkan penjelasan Dr Liyana, pasukan multi disiplin rehabilitasi akan merangka tempoh rawatan berdasarkan matlamat jangka pendek dan panjang.
"Kita akan berbincang bersama-sama dan membuat penilaian terhadap perkembangan pesakit sepanjang tempoh mereka menerima rawatan untuk memastikan mereka mencapai pemulihan yang optimum," katanya.
4. Penggunaan teknologi robot
Teknologi robot dicipta khas untuk membantu pesakit menjalankan rawatan rehabilitasi.
Selari dengan perkembangan teknologi kini, Pusat Rehabilitasi PERKESO juga mengambil langkah efektif dalam memberi rawatan rehabilitasi.
Bagi Dr Liyana, terdapat keistimewaan yang tidak sama seperti tempat lain sepanjang berkhidmat lebih dua tahun di Pusat Rehabilitasi PERKESO.
"Di sini, kita kendalikan pelbagai kes, ada yang sangat teruk seperti terlantar dan boleh berjalan semula selepas dapatkan rawatan rehabilitasi di sini.
"Kita juga menggunakan teknologi robotik terkini seperti Cyberdyne Hybrid-Assistive Limb, Vibramoov, Robert dan lain-lain yang dikhaskan untuk membantu menyokong pemulihan kepada para pesakit yang tidak didapati di tempat lain," katanya.
Pasukan rehabilitasi di pusat tersebut juga dilatih dengan cekap dalam bidang masing-masing agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Rehabilitasi PERKESO, anda boleh melayari laman web https://www.rehabmalaysia.com/ atau ikut perkembangan terkini PERKESO menerusi pautan https://www.perkeso.gov.my/en/e-newsletter.html. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram