TIDAK hanya ketua rumah menerima manfaat sebagai pencarum, nasib pasangannya yang bergelar suri rumah juga tidak dikecualikan.
Ini kerana, meskipun hanya di rumah, risiko keselamatan tetap ada, justeru Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tampil menyediakan perlindungan buat suri rumah melalui satu skim Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Sejak diperkenalkan pada 1 Disember 2022, ramai wanita menikmati manfaatnya sekali gus berupaya mengurangkan beban para suami sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Skim yang membela nasib wanita itu turut mendapat perhatian kerajaan apabila dibentangkan di bawah Belanjawan 2024, dengan sejumlah dana diluluskan untuk agihan melalui dua kaedah.
SKSSR bakal memberi manfaat kepada golongan wanita sama ada mereka bergelar suri rumah sepenuh masa atau separuh masa daripada bencana domestik dan keilatan ketika menguruskan keluarga di rumah.
BACA LAGI: Faedah perubatan antara 5 perlindungan PERKESO untuk suri rumah termasuk janda, ibu tunggal
SKSSR bakal memberi manfaat kepada golongan wanita sama ada mereka bergelar suri rumah sepenuh masa atau separuh masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, Malaysia merupakan negara keempat di dunia yang mempunyai skim perlindungan sosial, khas buat suri rumah.
Beliau berkata, hanya dengan bayaran RM10 sebulan atau RM120 setahun, banyak manfaat yang boleh dinikmati bakal pencarum.
"Buat suami-suami di luar sana, kalau rokok yang hampir RM20 sekotak boleh beli, mana mungkin separuh daripada harga itu tak dapat nak kita asingkan untuk isteri tercinta, bukan?" katanya menerusi satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Bercerita bagaimana PERKESO mampu menguntum senyuman kepada individu lain, Mohammed Azman turut berkongsi pengalaman seorang suri rumah, Nor Amelia Nazdmen Mohamad yang mendapat manfaat daripada SKSSR.
Menurut beliau, pada awalnya, wanita berusia 30 tahun dari Lawas, Sarawak itu disahkan menghidap penyakit saraf dan radang di bahagian saraf tunjang pada April 2013.
Bagaimanapun Nor Amelia masih berdaya untuk menjalankan tugas seharian di rumah sebelum mengambil keputusan untuk mencarum SKSSR pada Julai tahun lalu.
"Dia bimbang andai langit tidak selalu cerah, mengenangkan penyakit yang pernah dihidapinya.
"Telahan Nor Amelia tepat apabila kesihatannya merosot hingga lumpuh separuh badan dan disahkan ilat oleh Jemaah Doktor, tiga bulan kemudian.
"Sehubungan itu, dia layak menerima elaun keuzuran sehingga berusia 55 tahun, selain merupakan pencarum pertama SKSSR yang diberikan bantuan Kemudahan Pemulihan Jasmani, berupa kerusi roda bermotor dan lampin pakai buang," ujarnya.
Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain. — Gambar hiasan
Penyerahan yang dibuat menerusi Program Ziarah Prihatin PERKESO ke kediaman Nor Amelia yang terletak di Kampung Dato' Kuala Lawas, Lawas dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Turut hadir, Pengurus PERKESO Limbang, Siti Saharah Tair; Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Penghulu, Idris.
Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram