ORANG Berinsurans (OB) merupakan antara golongan sasaran dalam misi pelaksanaan Kempen Membawa Senyuman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Kempen tersebut bertanggungjawab menyediakan beberapa skim perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan atau digelar sebagai OB.
Antara skim perlindungan yang disediakan PERKESO termasuk perlindungan insurans, peningkatan keselamatan pekerjaan dan penyediaan perkhidmatan pekerjaan.
BACA LAGI: Lebih 350 rakan strategik PERKESO sertai gagasan Program Social Synergy
Kempen Membawa Senyuman PERKESO.
Menurut Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely, PERKESO turut aktif melaksanakan program komuniti sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.
Ia bertujuan untuk lebih mendekati masyarakat sekali gus mempromosikan perkhidmatan yang disediakan selaras dengan tema 'PERKESO itu prihatin, prihatin itu PERKESO'.
Katanya, sebagai peneraju keselamatan sosial yang unggul, komprehensif dan dinamik, PERKESO agresif menyediakan skim keselamatan sosial yang cemerlang dalam memberikan keceriaan serta kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.
"Tujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap jenama PERKESO dalam kalangan golongan sasaran adalah mewujudkan feel good factor kepada OB.
"Di bawah kempen ini, PERKESO mahu menyampaikan mesej bagaimana kami mampu mengembalikan senyuman kepada OB apabila mereka melalui episod sukar dalam kehidupan," katanya.
Bukan itu sahaja, PERKESO turut menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan keseluruhan program dapat dilaksanakan dengan berkesan.
BACA LAGI: Ditimpa kemalangan ketika urus keluarga, suri rumah juga terima perlindungan PERKESO
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang disediakan PERKESO bagi suri rumah.
Kempen itu selari dengan saranan kerajaan Malaysia Madani dalam pembentangan Bajet 2023 untuk mengaktifkan semula ekonomi dan menyediakan peluang menjana pendapatan.
"Program ini menawarkan sesi libat urus dengan masyarakat membabitkan semua produk-produk yang terdapat dalam skim-skim perlindungan PERKESO.
"Sediakan payung sebelum hujan, episod seperti kehilangan orang tersayang atau kecacatan anggota semasa bertugas merupakan detik yang sangat berat untuk dilalui oleh sesiapa pun.
"Bagaimanapun, jika kita menyediakan payung sebelum hujan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan dengan skim perlindungan PERKESO, sedikit sebanyak beban mereka akan berkurang melalui faedah-faedah yang disediakan," jelasnya.
Roshaimi menambah, Showcase Galeri PERKESO Membawa Senyuman adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang bagaimana PERKESO akan sentiasa bersama-sama dengan OB ketika mereka memerlukan sokongan.
Pada masa sama, program tersebut dapat menggerakkan dan memastikan golongan sasaran terutamanya pekerja sendiri serta suri rumah berdaftar supaya mendapat perlindungan apabila berhadapan sebarang risiko.
Ia secara tidak langsung boleh meneroka peluang pekerjaan baharu bersesuaian untuk janaan pendapatan kepada rakyat Malaysia khasnya kepada golongan pencari kerja.
"Sejajar dengan tekad untuk menyediakan perkhidmatan terbaik yang melangkaui ekspektasi pelanggan," ujarnya.
Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram