Faedah perubatan antara 5 perlindungan PERKESO untuk suri rumah termasuk janda, ibu tunggal


  • Massa
  • Isnin, 15 Apr 2024

SKSSR diperkenalkan sejak 1 Disember 2022 oleh PERKESO bagi melindungi suri rumah. — Gambar hiasan

DALAM usaha meningkatkan lagi perlindungan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 1 Disember 2022 memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Skim terbaharu itu menyaksikan agensi tersebut meluaskan lagi jaringan perlindungan termasuk kepada suri rumah di dalam negara.

Dirangka di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022, skim itu bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Pada masa sama, SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran.

Di bawah skim berkenaan, suri rumah ditakrifkan sebagai seorang perempuan sama ada berkahwin atau belum yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak.

Ia meliputi isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

2630146

SKSSR memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga.

Caruman berkenaan boleh dilakukan oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut.

Antara syarat kelayakan bagi suri rumah yang mahu menyertai skim SKSSR ialah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap dan berusia tidak sampai 55 atau belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali melakukan caruman.

Pada masa sama, pencarum juga perlu terlebih dahulu melakukan caruman sebanyak RM120 bagi tempoh 12 bulan berturut-turut.

Dengan menyertai skim SKSSR, berikut merupakan enam faedah perlindungan yang boleh diperolehi suri rumah di dalam negara:

1. Faedah Perubatan

Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain.

Akses terhadap rawatan itu tertakluk kepada Akta Fi 1951.

Kemasukan ke wad bagi pencarum adalah dengan kelayakan wad kelas kedua Hospital Kerajaan.

2. Faedah Hilang Upaya Kekal

Suri rumah yang mengalami satu atau lebih hilang upaya kekal akibat bencana domestik boleh memohon dan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara sekali gus dengan pengesyoran oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Pencarum boleh menerima bayaran pukal sehingga RM30.000 bagi satu tempoh caruman mengikut jenis kecederaan.

3. Elaun Layanan Sentiasa

Elaun Layanan Sentiasa dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Faedah Hilang Upaya Kekal atau Elaun Keuzuran akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain.

Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

4. Faedah Pengurusan Mayat

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 akan dibayar secara sekali gus atau one-off kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Bayaran ini akan diberikan kepada orang tanggungan yang layak atau pihak yang menanggung perbelanjaan pengebumian.

5. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap hilang upaya kekal atau keilatan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

2616970

Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain. — Gambar hiasan

Pembiayaan bagi faedah ini mencecah sehingga RM50,000 dalam satu tempoh caruman jika suri rumah diperakukan menghidap keilatan atau hilang upaya sehingga memerlukan kemudahan pemulihan jasmani seperti kaki palsu, kerusi roda, tongkat dan lain-lain.

Rawatan bagi dialisis adalah sebanyak RM200 setiap bulan atau menurut Akta Fi 1951.

6. Pencen Penakat

Sekiranya suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai usia 55 tahun akibat bencana domestic atau sedang menerima elaun keuzuran atau mati atas apa-apa sebab dalam tempoh perlindungan, Pencen Penakat akan dibayar sebanyak RM300 sebulan kepada orang tanggungan yang layak mengikut syer ditetapkan.

Pencen Penakat dibayar kepada duda atau anak.

Jika suri rumah berinsurans tidak meninggalkan duda, anak, bayaran Pencen Penakat dibayar kepada Ibu bapa suri rumah berinsurans.

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

2630144

Antara syarat kelayakan bagi suri rumah yang mahu menyertai skim SKSSR ialah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap dan berusia tidak sampai 55 atau belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali melakukan caruman. — Gambar hiasan

Syer anak dibayar sehingga anak berumur 21 tahun atau berkahwin atau jika masih belajar sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Jika ada anak yang terencat mental, kurang upaya fizikal yang menyebabkan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, syer anak tersebut dibayar sehingga berumur 55 tahun.

Pencen Penakat dibayar hanya kepada duda atau ibu bapa warganegara Malaysia sehingga mencapai umur 55 tahun sahaja.

Bayaran Pencen Penakat kepada duda juga akan terhenti jika duda berkahwin semula.

Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram