[VIDEO] 'Macam bercakap dengan cucu', warga emas tak gelabah disamun 4 'ninja hitam' berparang di Kuala Langat


  • 112
  • Rabu, 13 Mac 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan kejadian samun melibatkan empat orang penjenayah di sebuah kedai runcit di Kuala Langat, Selangor pada Ahad lepas.

EMPAT penjenayah yang terlibat dalam kejadian samun dengan menggunakan parang di sebuah kedai runcit di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor pada Ahad lalu kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang pegawai perubatan berusia 26 tahun pada pukul 4.32 petang.

BACA LAGI: Dua suspek guna alat pemadam api samun kedai runcit di Guar Chempedak

BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan rompak bersenjata gagal, pemilik kedai emas 'trick' buka laci sebelum larikan diri

Ahmad berkata, pengadu dan keluarga telah didatangi empat lelaki yang tidak dikenali berpakaian serba hitam menutupi seluruh badan menaiki kereta jenis Perodua Ativa merah.

“Kesemua suspek bersenjatakan parang telah memasuki kedai runcit milik nenek pengadu.

“Suspek kemudian telah masuk ke rumah pengadu menerusi pintu hadapan yang berada di tingkat atas kedai runcit.

“Suspek telah bertindak ke tingkat bawah setelah menyedari ibu pengadu bangun dan menjerit mengejutkan bapa pengadu yang sedang tidur di dalam bilik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, pengadu mengalami kerugian wang tunai bernilai RM1,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen395/397 Kanun Keseksaan.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek dan orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi.

Kejadian tersebut juga sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial sejak Rabu.

Namun, lebih meraih perhatian apabila nenek pengadu dilihat dapat mengawal keadaan dengan sangat tenang dan tiada kecederaan dilaporkan.

Rata-rata warganet turut memuji tindakan warga emas tersebut kerana tidak terlalu panik ketika disamun.

"Tenang betul aunty tu, macam bercakap dengan cucu," komen @Sangari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram