Dividen konvensional KWSP perlu 'dicuci', tegas pakar kewangan Islam


  • Massa
  • Ahad, 03 Mac 2024

Pencarum KWSP beragama Islam yang disarankan agar membuat pembersihan sebanyak 66 peratus daripada dividen simpanan konvensional.

SETIAP pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam disarankan melakukan pembersihan berjumlah 66 peratus daripada dividen simpanan konvensional.

Pakar kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tindakan tersebut perlu dibuat bagi mereka yang hanya menginginkan pendapatan halal dan bersih.

"Alhamdulillah dividen simpanan syariah tahun 2023 adalah 5.4 peratus, manakala simpanan konvensional sebanyak 5.5 peratus.

"Namun bagi mereka yang inginkan pendapatan halal lagi bersih sahaja, 66 peratus daripada jumlah dividen konvensional itu mesti dibersihkan.

"Ini menjadikan dividen patuh syariah KWSP konvensional yang halal dinikmati hanyalah sebanyak 1.87 peratus. Jika dividen konvensional itu nilainya RM10,000 maka RM6,600 perlu dibersihkan," katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.

photo_6280279932911337415_x

Jumlah agihan dividen dalam simpanan syariah.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk simpanan konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.3 bilion dan 5.40 peratus untuk simpanan shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM7.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn dilaporkan berkata, setakat 31 Disember 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM66.99 bilion.

Rentetan itu, Zaharuddin menjelaskan bahawa, pembersihan dividen simpanan konvensional boleh menggunakan wang sedia ada yang bukan dalam simpanan KWSP.

"Boleh disalurkan jumlah tersebut kepada faqir miskin atau keperluan awam, diniatkan pembersihan.

"Boleh mengetahui jumlah dividen terbaharu dalam RM melalui KWSP i-akaun. Pembersihan tidak diperlukan bagi dividen simpanan syariah," katanya.

photo_6280279932911337416_x

Zaharuddin menegaskan tindakan pembersihan itu wajib dilakukan bagi pencarum beragama Islam. — Facebook

Tambah Zaharuddin, lebih 70 peratus pencarum Muslim yang masih dalam simpanan konvensional wajib mengubah ke simpanan syariah yang pada masa ini perlu dilakukan sendiri oleh pencarum.

"Pelajarilah hal ehwal halal haram dalam pendapatan kita, kehidupan duniawi hanya sementara, jangan kerana RM, kita kesusahan di akhirat yang kekal kelak.

"Bertukar kepada yang halal sangat berbaloi dan tidak akan mengundang kemiskinan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram