SEORANG warga emas wanita cedera di leher selepas cuba disamun penjenayah wanita yang bertopi keledar di Felda Bukit Bading dekat Ajil, Hulu Terangganu, Terengganu pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin dilaporkan berkata, pada mulanya, mangsa bersama suaminya yang sedang berehat di luar rumah telah didatangi suspek yang kononnya mahu menjual telekung.
“Mangsa yang tidak berminat membeli kemudiannya masuk ke dalam rumah sebelum suspek tiba-tiba mengekorinya.
“Suspek yang memakai topi keledar menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum cuba meragut rantai leher dipakai wanita itu,” katanya pada Jumaat.
BACA LAGI: Dituduh curi RM85 punca Mohammad Nazmie Aizzat dibelasah hingga maut
Dalam kejadian pada pukul 10.03 pagi itu, wanita berusia 70-an tersebut menggagahkan diri melawan mempertahankan rantai lehernya daripada diragut suspek.
Difahamkan, mangsa merupakan isteri kepada seorang imam masjid di kampung tersebut.
Mengulas lanjut, Zainul Mujahidin berkata, berlaku pergelutan menyebabkan cubaan suspek berusia 49 tahun untuk meragut mangsa gagal.
Tambah beliau, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan mangsa berusia 70-an pula dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.
“Hasil risikan suspek yang merupakan wanita berusia 49 tahun akhirnya berjaya ditahan di tepi jalan berhampiran Balai Polis Ajil di sini pada pukul 4.50 petang semalam (Khamis),” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram