SEBUAH pemfileman memiliki nilai dan kualiti yang bernilai tinggi untuk memberi kepuasan kepada penonton.
Namun, segelintir individu kurang menyedari kesusahan proses pemfileman yang dihasilkan sehingga lebih memilih untuk menonton secara cetak rompak.
Menerusi hantaran di Facebook, pelakon, Azhan Rani terkilan dengan sikap individu yang seakan-akan berbangga menonton drama yang dilakonkannya secara haram di aplikasi Telegram.
"Kalau tengok kat Telegram tolonglah jangan bagitau kami. Siaran di Telegram ini cetak rompak, siaran tanpa izin," tulisnya.
Tidak mudah untuk menghasilkan sesuatu karya, Azhan Rani mendedahkan bahawa proses pemfileman itu dilakukan dengan mengambil masa yang sangat lama.
"Penggambaran kami untuk hasilkan Khunsa tak mudah. Dari November 2023 sampai harini pun masih tak selesai lagi.
"Macam-macam cabaran dan rintangan yang kalau diceritakan pun bukan orang nak kisah pun," katanya.
Azhan Rani berlakon sebagai watak Wan Mat Jusoh, ayah kepada Che Khun.
Azhan Rani juga berasa seperti usahanya sama sekali tidak berbaloi jika penonton lebih memilih menonton secara haram berbanding di saluran sebenar.
"Usaha dan penat lelah kami sangat tak berbaloi. Ya anda tak rasa sebab bukan usaha dan kerja anda pun yang dirompak.
"Tiada Astro, kalau langgan di Sooka TV tanpa kontrak cuma RM15 sahaja untuk sebulan. Kalau nak berhenti langgan bila-bila pun boleh," katanya.
Azhan Rani kecewa terdapat individu yang berbangga menonton drama yang dilakonkannya secara haram menerusi aplikasi Telegram.
Azhan berharap teguran yang dibuatnya mampu memberi kesedaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab agar karya seni lebih dihargai.
"Tapi jika ada kesedaran dan kemanusiaan cubalah fikirkan jika dibalikkan pada diri sendiri suatu hari nanti. Maaf saya tegur," tulisnya.
Untuk rekod, drama 28 episod ini sedang bersiaran di Astro Ria pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 9 malam.
Selain Azhan, drama ini juga dibaris pelakon popular seperti Sherry Alhadad, Nadia Aqilah, Kalila Nasir dan Zarina Zainoordin.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet juga kecewa dengan tindakan yang tidak bermoral itu.
"Sudah sampai masa penerbit perlu lebih keras. Tidak kira mereka itu orang susah atau budak muda. Perlu ada tindakan saman. Sekarang di media sosial mana pun kita boleh kesan pemilik. Apabila banyak yang disaman, yang lain mungkin ada ketakutan untuk buat benda yang sama. Lebih lama dibiarkan lebih memburukkan keadaan," tulis Roziyah Mahamad.
"Saya langgan sooka semata-mata nak tengok Khunsa. Dari episod 1 sampai 10... Seronok sangat-sangat layan, semua mantap, jalan cerita terbaik. Saya beri rate 1000/10," tulis Rasya El Humaira. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram