Jemput profesor AS pro-Israel: UM mohon maaf, akan ambil tindakan tegas


  • Massa
  • Khamis, 25 Apr 2024

UM berkata, pihaknya mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi dan telah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.

UNIVERSITI Malaya tampil memohon maaf berhubung penganjuran sebuah program melibatkan seorang ahli akademik dari Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang tular selepas kenyataaan tidak sensitifnya berhubung konflik Palestin-Israel.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, UM berkata, pihak universiti mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi dan telah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.

"UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial. Laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini.

"UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak. Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial," ujar kenyataan itu.

BACA LAGI: Tergesa-gesa mohon FSA2 KWSP nak pakai raya, jangan sampai tertipu khidmat i-Cagar di Facebook

photo1714000990

Ciapan yang dimuat naik Gilley. — Twitter/Gilley

BACA LAGI: Dividen konvensional KWSP perlu 'dicuci', tegas pakar kewangan Islam

Dalam pada itu, universiti terbabit turut mengecam kenyataan terbaharu dibuat ahli akademik tersebut berkenaan aspek keselamatan ketika lawatannya ke Malaysia.

Katanya, kenyataan dikeluarkan itu adalah tidak bertanggungjawab dan melampau serta mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

"Pihak UM akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah," jelas kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram